Sungai Perai berpotensi dibangunkan sebagai destinasi pelancongan – ADUN

Admin

BAGAN JERMAL – Penganjuran Festival Sungai Perai mampu menjadi salah satu platform dalam mengetengahkan aktiviti ekopelancongan di Seberang Perai.

Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr Afif Bahardin berkata, Sungai Perai menjadi ‘landmark’ yang amat berpotensi untuk dibangunkan sebagai tarikan baharu destinasi pelancongan negeri khususnya bagi kawasan Seberang Perai.

“Melalui penganjuran program sebegini, diharap dapat membina kesedaran tentang keperluan sungai serta tanggungjawab bersama untuk menjaga dan dihayati dengan lebih berkesan dan bermakna.

“Pada zaman ini sungai kian terancam akibat pemanasan global, pembangunan serta pencemaran menyebabkan sumber air tawar dunia menjadi semakin berkurangan yang dibimbangi akan mewujudkan krisis habitat liar dan juga kehidupan manusia.

“Oleh itu, marilah kita bersama-sama menjaga dan memelihara sungai kita agar sentiasa bersih dan indah tanpa sebarang kemusnahan serta pencemaran,” serunya semasa berucap pada program bekaitan dekat Taman Bandar Ampang Jajar, Permatang Pauh pada 29 September lalu.

Antara aktiviti seperti kayak yang dapat dilakukan di Sungai Perai tersebut.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Dalam, M. Satees; Datuk Bandar bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Dato’ Sr. Rozali Mohamud; Ahli-ahli Majlis dan Setiausaha Bandaraya MBSP, Ir. Rosnani Mahmod; Jurutera Daerah Jabatan Pengairan dan Saliran Seberang Perai Tengah (SPT), Mohd. Nasyarul Ahmad Rizan; Pengarah Urusan Think City Sdn. Bhd., Hamdan Abdul Majeed dan Pengarah Urusan Zart Eventive Enterprise, Zaini Zainul.

Mengulas lanjut, Afif memaklumkan bahawa pihak MBSP bersama-sama Think City Sdn. Bhd. telah mewujudkan kerjasama bagi membangunkan Pelan Tindakan Sungai Perai untuk tempoh lima tahun di bawah Program Butterworth Baharu.

“Mekanisme utama pembangunan pelan tindakan ini adalah melalui aktiviti pemeliharaan dan pemuliharaan, naik taraf projek fizikal bagi mewujudkan kesalinghubungan di sepanjang sungai serta mengaktifkan Sungai Perai.

“Saya amat menyokong usaha murni ini dalam memastikan kelestarian sumber semula jadi iaitu Sungai Perai sepanjang 24 kilometer (km) terus terpelihara,” katanya yang juga ADUN Seberang Jaya.

Difahamkan, Festival Sungai Perai 2019 mampu merealisasikan moto Kerajaan Negeri untuk menjadi negeri Bersih, Hijau, Selamat dan Sihat serta memenuhi aspirasi Visi Penang2030.

Oleh: SITI HUMAIRA MOHAMED YASIN
Gambar: EXCO