Sungai Pinang hampiri misi bebas banjir

Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI

DATOK KERAMAT – Setelah lebih sedekad tertangguh, kini projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Fasa II Sungai Pinang yang merupakan projek terbesar di antara 223 projek tebatan banjir dalam negara dengan jumlah perbelanjaan RM150 juta di sini akhirnya dapat dilaksanakan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datok Keramat, Jagdeep Singh Deo berkata, projek tersebut perlu dimulakan dengan tindakan meroboh 120 struktur binaan di sepanjang laluan merangkumi lima pakej iaitu dari Jalan Singgora ke Jalan Samak, titi Jalan Samak ke titi Jalan P. Ramlee, titi Jalan P. Ramlee ke Binaan Stor, Binaan Stor ke Jalan Langkawi dan Kampung Rawa hingga Lengkok Sungai Pinang.

“Dari jumlah 120 struktur terbabit, sebanyak 68 struktur penempatan di jajaran dari Desa Singgora Sungai Pinang hingga Dhoby Ghaut telah selesai, separa selesai (22), belum selesai (19) dan bilangan tidak terlibat bayaran (10).

“Bayaran ganti rugi keseluruhan berjumlah RM3.96 juta kepada para penghuni diberikan mengikut pakej 40 peratus/60 peratus di mana baki keseluruhan hanya akan diserahkan setelah pemilik mengosongkan premis masing-masing,” ujarnya ketika mengadakan lawatan ke lokasi bagi meninjau kerja-kerja perobohan struktur penempatan di jajaran Sungai Pinang sini baru-baru ini.

Turut hadir, Exco Kerjaan Tempatan Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow.

Tambah Jagdeep, baki bayaran kepada penduduk yang enggan mengosongkan tapak masing-masing dijangka bakal diselesaikan pada suku pertama tahun ini.

“Pengosongan ini amat penting kerana kawasan ini sering dilanda banjir dan amat berbahaya.

“Kita (Kerajaan Negeri) mengosongkan tebing sungai ini demi projek awam dan bagi mengelakkan penduduk daripada terdedah kepada bahaya banjir.

“Ia bukannya untuk mendirikan rumah mewah demi keuntungan,” tegas beliau.

Projek mengosongkan tebing sungai yang  menelan belanja sebanyak RM204,000 tersebut turut melibatkan lima kontraktor terpilih melalui tender terbuka oleh Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) sebelum ini.

Para kontraktor turut diberi masa tempoh masa 18 hari bagi menyelesaikan kerja-kerja disyaratkan.

Dalam pada itu, Kon Yeow menyatakan bahawa projek melebar dan menguatkan struktur tebing akan dijalankan sebaik sahaja semua perobohan struktur binaan selesai.