Melancong ke Jepun tanpa visa mulai 1 Julai

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN – Warganegara yang mahu melancong ke Jepun tidak perlu lagi memohon visa mulai 1 Julai ini, sebaliknya cukup membawa kad pengenalan MyKad sempena menyambut ulang tahun ke-40 penubuhan ASEAN yang menjalinkan hubungan harmoni Malaysia dengan negara matahari terbit itu.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng yang menyertai Hari Ulang Tahun Ke- 80 Maharaja Jepun di sini baru-baru ini berkata, beliau berharap hubungan Malaysia dengan negara matahari terbit itu kian akrab sebagaimana suburnya pokok yang pernah ditanam oleh maharaja berkenaan semasa melawat Padang Kota Lama di sini pada tahun 1970 hingga sekarang.

“Pokok itu telah berkembang dengan baik dan telah menjadi simbol hubungan antara Pulau Pinang dan Jepun,” katanya di depan hampir 300
diplomat yang menjadi tetamu majlis itu.

Sebelum itu, Konsul-Jeneral Negara Jepun ke Malaysia, Ryuji Noda berkata, rakyat Malaysia direkodkan ramai melawat ke Jepun pada tahun
2013, hatta, mendorong kerajaan negara itu menyediakan surau untuk warganegara yang rata-rata beragama Islam.

Beliau berkata, sehingga Disember 2013, seramai 12,000 warganegara direkodkan melawat negara itu. Jumlah itu, jelas Ryuji, menunjukkan pertambahan 30 peratus  berbanding rekod kemasukan warganegara Malaysia ke Jepun pada tahun 2012.

Tambahnya, Hokkaido merupakan antara destinasi pelancongan tumpuan pelancong Malaysia, terutama mereka yang mahu menikmati pengalaman bermain ski.

“Peningkatan pelawat Malaysia telah mendorong kerajaan Jepun untuk menubuhkan surau di lapangan terbang dan menggalakkan restoran menghidangkan makanan halal.

“Langkah sedemikian juga akan baik untuk pelawat Indonesia dan Timur Tengah ke Jepun, ” ujar Ryuji.