PBAPP F.C. tiada pemain import

Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI

GEORGE TOWN – Setelah dua tahun berada dalam Liga FAM, Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) F.C. kini sedia menghadapi cabaran baru dalam Liga Perdana, sebaris dengan skuad Harimau Kumbang pada musim akan datang.

Ketua Menteri yang juga merupakan Pengerusi PBAPP, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng menzahirkan rasa bangga atas tahap pencapaian pasukan tersebut dan berharap agar mutu permainan diteruskan untuk memasuki Liga Super.

“Saya amat positif dengan pencapaian dan mutu permaianan yang ditonjolkan pemain, pihak pengurusan dan semua pihak yang menyokong kebangkitan skuad bola sepak negeri.

“Hal ini sekaligus membuktikan bahawa pendekatan berbeza Kerajaan Negeri dalam pembangunan sukan membuahkan hasil,” katanya dalam sidang media di Komtar baru-baru ini.

Turut hadir, Pengurus Besar PBAPP Sdn. Bhd., Ir. Jaseni Maidinsa, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kota, Lau Keng Ee dan Pengurus Pasukan, Jamil Mohd. Noor.

Jelas beliau, Pulau Pinang mengambil pendekatan tanpa melibatkan ahli politik dalam memegang apa-apa jawatan dalam skuad negeri.

“Hanya mereka yang professional, berkepakaran dan tahu selok belok bola sepak wajar memegang jawatan dalam pengurusan dan bukannya ahli politik yang tidak mempunyai masa terluang untuk mengatur strategi permainan,” tegasnya.

Guan Eng dalam pada itu turut menasihati pemain dan pihak pengurusan untuk tidak terlibat dengan pengambilan dadah dan amalan bookie (bookmaker) yang ternyata akan mencemarkan mutu sukan negara.

Jamil berkata, PBAPP F.C. merupakan satu-satunya pasukan bola sepak dalam Liga Perdana yang tidak mengambil pemain import.

“Sememangnya adalah menjadi sebahagian misi kita untuk menggilap bakat-bakat muda tempatan dalam usaha memartabatkan sukan bola sepak negara.

“Walaupun baru berusia dua tahun, para pemaian PBAPP F.C. mempunyai hati yang besar dan cita-cita yang tinggi dalam meningkatkan mutu permaianan serta tidak akan gentar berlawan dengan pasukan lawan yang menampilkan pemain import kerana kita yakin bakat tempatan mampu menyerlah,” ujar beliau.

Selain perkenalan pemain skuad PBAPP F.C., turut diadakan adalah pengenalan jersi pasukan dan penyampaian jersi istimewa kepada Ketua Menteri.