Surai trafik Juru – Sungai Dua, harap dapat laksana menerusi Bajet 2024

Admin

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang berharap pembentangan semula pelaksanaan Kajian Penyuraian Trafik Seberang Perai membabitkan laluan antara Juru dan Sungai Dua di Lebuhraya Utara-Selatan bakal memperoleh kelulusan untuk dilaksanakan menerusi Bajet 2024 Persekutuan kelak.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa permohonan untuk membentangkan semula pelaksanaan kajian terbabit telah memperoleh kelulusan daripada Kementerian Ekonomi dan dijadualkan berlangsung pada penghujung bulan Mei ini.

Menurut Kon Yeow, kajian tersebut penting kerana ia merupakan inisiatif penyuraian trafik di kawasan Seberang Perai yang merupakan lokasi pertembungan trafik harian yang padat antara tiga negeri di utara Semenanjung Malaysia.

“Situasi (pertembungan trafik) ini secara tidak langsung telah memberi kesan terhadap sosioekonomi yang mana ia telah mengehadkan pergerakkan input sektor perindustrian dan perkhidmatan di sepanjang rantaian yang menjadi laluan pergerakkan utama kargo serta penumpang merentasi negeri di bahagian utara.

“Kira-kira 70 peratus kargo Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) adalah kargo bernilai tinggi yang memerlukan perkhidmatan logistik cekap serta pantas. Penangguhan masa operasi secara tidak langsung akan menjejaskan pengoperasian sekali gus memberi kesan terhadap daya saing dan produktiviti secara keseluruhan.

“Tambahan pula, negeri-negeri NCER menyumbang sebanyak 36 peratus atau dari segi nilai RM447 bilion setahun eksport negara dan sekiranya tidak dilaksanakan penyuraian ia akan membantutkan potensi hab import serta eksport NCER khususnya Pelabuhan Pulau Pinang dan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PIA),” ujarnya pada sidang media di sini tengah hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd. Sayuthi Bakar dan Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), Mohamad Haris Kader Sultan.

Mengulas lanjut, Kon Yeow yang juga Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi menyatakan bahawa kesesakan trafik yang meruncing antara Juru dan Sungai Dua itu turut ‘melimpah’ ke laluan negeri.

“Antaranya yang turut terjejas adalah di Jambatan Pulau Pinang; Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu sehingga ke George Town; Bayan Lepas; Batu Kawan dan juga Bukit Minyak.

“(Dan) tahap kesesakan di kawasan-kawasan ini dikatakan kritikal dan tidak memuaskan, maka penting untuk menambah baik sistem trafik di laluan ini bagi menyuraikan trafik.

“Mungkin ada cadangan untuk membina susur keluar atau laluan baru mahupun laluan bertingkat dan segalanya bergantung pada kajian yang dilaksanakan oleh NCIA,” jelasnya.

INISIATIF penyuraian trafik melibatkan laluan antara Juru ke Sungai Dua dan sebaliknya.

Dalam pada itu, Kon Yeow berharap agar Kerajaan Persekutuan dapat mempertimbangkan kelulusan peruntukan bagi pelaksanaan projek penambahbaikan penyuraian trafik jangka sederhana yang diterajui oleh NCIA.

“Inisiatif yang dilaksanakan ini penting bagi mencari solusi terbaik di samping mengenal pasti impak, limpahan serta kaedah pelaksanaan yang bersesuaian bagi membolehkan kesesakan yang melibatkan kira-kira 1.3 juta pengguna laluan di ketiga-tiga negeri utara Semenanjung Malaysia dapat diredakan,” ulasnya lanjut.

Menjawab pertanyaan pemberita berhubung kos dan tempoh masa pelaksanaan kajian tersebut, Mohamad Haris memberitahu bahawa pihaknya memohon peruntukan sebanyak RM2 juta.

“Sekiranya permohonan ini diluluskan serta dibentangkan dalam Bajet 2024 nanti, kajian akan segera dilaksanakan dan mengambil masa kira-kira enam bulan sebelum boleh dilaksanakan yang mana pihak kami menjangkakan tahun hadapan juga,” katanya.

Difahamkan, NCIA sebelum ini telah membuat permohonan kepada Unit Perancangan Ekonomi (EPU) bagi penyelesaian masalah berkaitan di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 pada tahun 2020.

Susulan itu, NCIA melalui Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Negeri Pulau Pinang pada Julai 2022 bersetuju untuk menganjurkan bengkel penyelarasan perancangan melibatkan agensi di bawah Kementerian Kerja Raya; Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM); PLUS Malaysia Berhad dan lain-lain termasuk pihak berkuasa tempatan negeri.

 

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : LAW SUUN TING
Video : AHMAD ADIL MUHAMAD