PRN, Pulau Pinang ‘pegang’ persetujuan bubar DUN dua minggu terakhir Jun

Admin
GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang masih memegang persetujuan enam negeri sebelum ini untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) serentak  bagi membolehkan Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, persetujuan enam negeri dalam pertemuan yang diadakan pada Februari lalu masih kekal dan tidak berubah.
“Keenam-enam buah negeri termasuk Pulau Pinang telah bersetuju untuk membubarkan DUN (serentak) iaitu pada dua minggu terakhir bulan Jun ini.
“Meskipun setiap negeri mempunyai pertimbangan masing-masing, namun bagi Pulau Pinang, kita masih mengikut persetujuan sebelum ini iaitu sama ada minggu ketiga atau keempat pada bulan Jun (untuk bubar DUN) nanti,” ujarnya yang juga Pengerusi PH Pulau Pinang pada sidang media di sini tadi.
Negeri-negeri yang bakal mengadakan PRN serentak adalah Pulau Pinang, Kedah, Kelantan, Terengganu, Selangor dan Negeri Sembilan yang mana pilihan raya perlu diadakan dalam tempoh 60 hari selepas pembubaran DUN.
Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : LAW SUUN TING