Survei Ekonomi Tahunan 2022 turut libatkan 8,316 pertubuhan perniagaan terpilih Pulau Pinang – DOSM

Admin

GEORGE TOWN – Sejumlah 8,316 pertubuhan perniagaan terpilih dari negeri Pulau Pinang merupakan antara 109,506 pertubuhan seluruh negara yang akan dilibatkan dalam Survei Ekonomi Tahunan 2022 (AES 2022) bermula 15 April sehingga 30 September 2022.

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dipetik berkata bahawa pelaksanaan AES 2022 di Negeri Pulau Pinang adalah menggunakan kaedah temu ramah secara bersemuka serta penghantaran borang soal selidik melalui e-mel.

Di samping itu, sumber menjelaskan bahawa DOSM turut memperkenalkan sistem e-AES iaitu kaedah pengisian borang soal selidik secara dalam talian bagi memudahkan responden membuat pengisian borang serta membantu mengekang penularan wabak COVID- 19.

“Sebanyak 8,316 pertubuhan perniagaan terpilih di negeri Pulau Pinang adalah menyamai 7.6 peratus daripada pertubuhan perniagaan terpilih seluruh negara yang terlibat dalam AES 2022.

“Tujuan utama pelaksanaan AES 2022 adalah untuk mengumpul maklumat tentang pertumbuhan, sumbangan, komposisi dan taburan output, nilai ditambah, guna tenaga serta pemboleh ubah lain bagi lima sektor utama ekonomi negara iaitu perkhidmatan, pembuatan, pertanian, perlombongan dan kuari serta pembinaan,” jelas sumber dalam suatu kenyataan bertulis kepada Buletin Mutiara pada 20 Jun 2022.

Daripada tinjauan tersebut juga, DOSM berhadap dapat mengumpul kesan pandemik COVID-19 terhadap pertubuhan perniagaan, ekonomi digital, kemudahan pembiayaan, inovasi dan R&D (penyelidikan dan pembangunan), perlindungan alam sekitar dan persediaan industri ke arah teknologi dan Revolusi Perindustrian Keempat (IR4.0).

“Hasil dapatan daripada AES 2022 akan dibekalkan kepada pihak kerajaan bagi menilai pencapaian Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12) serta menstruktur semula ekonomi Malaysia sesuai dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030),” jelas sumber lagi.

Difahamkan, pengumpulan data AES 2022 adalah tertakluk kepada Akta Perangkaan 1965 (Disemak – 1989) yang mana maklumat yang diterima adalah sulit dan tidak boleh didedahkan kepada mana-mana pihak lain.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB