Syarikat pemprosesan arang batu tanpa lesen dekat Bagan Jermal diarah tutup serta-merta

BAGAN JERMAL – Sebuah syarikat yang menjalankan kerja-kerja menyimpan dan memproses arang batu tanpa kebenaran dekat Jalan Kampung Gajah, di sini diarah menghentikan operasi serta-merta.

Arahan tersebut dikeluarkan oleh pihak Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) melalui notis kesalahan di bawah Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974 bertarikh 6 April 2019 selepas operasi bersepadu dijalankan di kawasan terbabit.

Soon Lip Chee menunjukkan arang batu telah diproses yang menyebabkan pencemaran udara di sekitar kawasan tapak operasi syarikat berkenaan.

Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Ahli Majlis bagi MPSP K.Kumaran menjelaskan bahawa hasil pemeriksaan mendapati pihak syarikat terbabit telah melakukan beberapa kesalahan seperti beroperasi tanpa lesen serta lokasi yang tidak sesuai.

“Berikutan aduan diterima oleh pihak Majlis daripada penduduk setempat, satu operasi bersepadu telah diadakan pada 5 April lalu.

“Pihak Majlis mengambil serius mengenai isu ini dan saya meminta pihak Kejuruteraan MPSP mengeluarkan satu notis untuk menghentikan operasi dan pihak syarikat berkenaan diarah untuk mengosongkan kawasan ini dalam tempoh masa 14 hari,” katanya pada sidang media selepas meninjau tapak operasi berkenaan, di sini, semalam.

Turut serta, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Jermal merangkap Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee; Ahli Majlis bagi MPSP, Khong Chee Seong; Penyelaras Khas Parlimen Bagan, Tan Kang Chong serta wakil syarikat berkaitan.

Justeru, Kumaran berharap agar pihak-pihak berkaitan seperti Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Kesihatan Negeri turut mengambil tindakan sewajarnya terhadap syarikat berkenaan di bawah akta sedia ada.

“Lokasi pemprosesan arang batu ini tidak sesuai kerana tempatnya terbuka serta berdekatan dengan kawasan perumahan dan sekolah.

“Kita tidak mahu kesan pencemaran daripada sisa bahan ini menjejaskan kesihatan penduduk di sini,” tegasnya lagi.

Jentera yang dikenal pasti digunakan pihak syarikat untuk memproses arang batu.

Difahamkan, arang batu yang diproses adalah sejenis bahan bakar bagi kegunaan industri peleburan besi yang dibawa masuk dari luar negara menerusi Pelabuhan Pulau Pinang sejak 28 Mac lalu.

Sementara itu, Lip Chee menegaskan bahawa Kerajaan Negeri tidak menghalang mana-mana pihak untuk menjalankan perniagaan di negeri ini namun perlu mematuhi peraturan agar tidak mendatangkan kesan buruk kepada orang ramai.

“Selaku ADUN, saya sentiasa beritahu bahawa sesiapa sahaja yang mahu menjalankan perniagaan di negeri ini mesti memohon kebenaran (berlesen) dan mematuhi segala peraturan yang ditetapkan,” katanya lagi.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD