Syarikat swasta serah sumbangan sarung tangan & pakaian pelindung diri tanda solidariti lawan COVID-19

Admin

GEORGE TOWN – Syarikat pengeluar sarung tangan pembedahan utama negara, Top Glove Corporation Berhad (Top Glove) hari ini menyerahkan sumbangan 70,000 sarung tangan getah kepada empat jabatan dan agensi kerajaan yang terlibat secara langsung dalam melawan penularan wabak COVID-19 di negeri ini.

 

Sumbangan diserahkan oleh Pengurus Kanan Pembuatan Top Glove, Chan Siao Yun kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang diwakili oleh Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Teh Lai Heng pada majlis ringkas di Komtar, tadi.

 

TEH Lai Heng (tiga dari kiri) menerima sumbangan sarung tangan getah daripada Syarikat Top Glove di sini petang ini.

Menurut Lai Heng, sumbangan yang disampaikan oleh syarikat swasta ini adalah sebagai tanda solidariti bersama-sama wira barisan hadapan dalam melawan penularan wabak COVID-19 di negeri ini, khasnya.

 

“Bagi pihak Kerajaan Negeri, saya ingin menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak sama ada syarikat swasta mahupun individu yang sudi tampil memberikan sokongan serta sumbangan khususnya kepada wira barisan hadapan (frontliners) dalam membendung penularan wabak COVID-19.

 

“Terima kasih sekali lagi dan kita (Kerajaan Negeri) amat mengalu-alukan inisiatif sebegini demi kesejahteraan dan keselamatan semua,” ujarnya yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar.

 

Difahamkan, Hospital Pulau Pinang menerima 50,000 sarung tangan dan baki 20,000 lagi diagihkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP).

 

Dalam majlis sama, sejumlah 300 set pakaian pelindung diri (protective clothing) turut diserahkan kepada Hospital Pulau Pinang oleh Pengerusi Persekutuan Pengilang-Pengilang Malaysia (Cawangan Pulau Pinang), Datuk Dr. Ooi Eng Hock dan Syarikat Sky Resources Sdn. Bhd. yang diwakili oleh William Tan.

 

Penang Lawan COVID-19!

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI