Syarikat tempatan hasil telur sifar antiobiotik pertama di Asia Tenggara

LAW Choo Kiang (kanan) menunjukkan telur sifar antiobiotik yang dihasilkan manakala Tan Eng Guan ceria dengan pengiktirafan diberikan Kerajaan Negeri atas kejayaan syarikatnya pada sidang media sini barubaru ini.
LAW Choo Kiang (kanan) menunjukkan telur
sifar antiobiotik yang dihasilkan manakala
Tan Eng Guan ceria dengan pengiktirafan
diberikan Kerajaan Negeri atas kejayaan
syarikatnya pada sidang media sini barubaru
ini.

 

Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI

GEORGE TOWN –Syarikat SHH Poultry Sdn. Bhd. (SHH Poultry) diiktiraf sebagai syarikat tempatan pertama yang berjaya menghasilkan telur sifar antiobiotik menggunakan teknologi dari China di rantau Asia Tenggara.

Ekoran kejayaan tersebut, Kerajaan Negeri telah menyampaikan sijil penghargaan dan pengiktirafan khas kepada syarikat terbabit di sini baru-baru ini.

Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Tebatan Banjir, Law Choo Kiang yang menyempurnakan majlis tersebut berkata, teknologi yang digunakan membolehkan SHH Poultry menghasilkan telur ayam sifar antibiotik dan bebas bahan kimia yang lebih selamat serta tahan lama.

“Bukan sahaja menyihatkan, malah, ia merupakan potensi perlu diketengahkan bagi membolehkan orang ramai mengamalkan hidup sihat melalui pemakanan yang betul,” katanya pada sidang media di sini baru-baru ini.

Tambah Choo Kiang, penghasilan hasil tersebut bukan sekadar memacu hala tuju sektor penternakan di Pulau Pinang tetapi juga mampu menjadi contoh kepada pengusaha lain untuk menggunakan teknologi yang selamat dan mesra alam.

“Penternak lain perlu mengambil peluang untuk menggunakan teknologi berkualiti, selamat dan mesra alam ini dalam memastikan rakyat negeri ini khasnya dapat menikmati tahap kesihatan yang optimum,” ujarnya.

Dalam pada itu, Pengurus SHH Poultry, Tan Eng Guan berkata, ladang penternakannya yang terletak di Seberang Perai Selatan adalah bebas antiobiotik, bahan kimia, bebas bau dan organik.

“Sejak 2006, syarikat kami bekerjasama dengan syarikat penternakan dari China, Luheng Agricultural Technologies Sdn. Bhd. untuk menghasilkan telur ayam dan ayam telur yang selamat, berkualiti dan tahan lama.

“Sehingga hari ini, kami berjaya menghasilkan 10,000 biji sehari bagi memenuhi permintaan pasaran yang kian meningkat,” jelas Eng Guan.