Syor bina parkir bertingkat Hospital BM dipertimbang, respons Kon Yeow

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD

KERAJAAN Negeri akan mempertimbang semua syor, termasuk projek pembinaan parkir bertingkat di atas sebidang tanah awam terbiar untuk kegunaan pengunjung Hospital Bukit Mertajam (BM) dan Sekolah Menengah Convent BM di sini.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow berkata demikian ketika mengetuai Jelajah Sedia Mendengar Ke Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Berapit baru-baru ini.

“Rumah Rehat DO (Pegawai Daerah) di sini lebih 10 tahun terbiar, dalam tempoh tertentu untuk digunakan tapak di tengah-tengah pusat bandar Pekan BM.

“Jadi, sudah sampai masa Tuan Pegawai Daerah (Zulkifli Long) membentangkan kertas kerja cadangan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tanah bagi mendapatkan arah tuju pihak Kerajaan (Negeri) untuk menggunakan tanah ini bagi tujuan-tujuan terbaik sekali,” responsnya kepada pemberita.

Zulkifli memaklumkan bahawa pihaknya sendiri mencadangkan struktur beberapa unit Rumah Rehat DO dipulihara semula untuk kegunaan awam.

Pun begitu, menurut beliau, elok cadangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Berapit, Lydia Ong Kook Fooi untuk projek pembinaan parkir dan perpustakaan komuniti turut dipertimbangkan juga.

Sebelum itu, Kok Fooi memberitahu, cadangan parkir bertingkat begitu diperlukan memandangkan lambakan pengunjung ke Hospital BM kian meningkat, selain isu cabaran trafik sesak pada waktu puncak di Jalan Kulim – BM di sini.

Ahli Parlimen BM, Steven Sim Chee Keong; Setiausaha Majlis bagi Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Sr. Rozali Mohamud; Ahli Majlis MPSP baharu, Joshua Woo Sze Zeng antara pemimpin utama Kerajaan Negeri yang menyertai siri ketujuh program jelajah tersebut sejak hujung tahun lepas.

TAMAN SENTOSA
Sebelum itu, jelajah Kon Yeow menerima bantahan daripada beberapa wakil penduduk Taman Sentosa mengenai cadangan dua projek pembangunan di kawasan kaki bukit, yang berisiko mengakibatkan insiden tanah runtuh serta trafik sesak.

Rozali menyatakan bahawa kedua-dua projek pembangunan tersebut telahpun ditolak oleh MPSP, namun pemaju memanjangkannya ke peringkat Lembaga Rayuan.

“MPSP pun masih tertakluk kepada keputusan Lembaga Rayuan, mana-mana pihak yang tidak berpuas hati dengan keputusan Lembaga Rayuan nanti boleh membawa kes ini ke Mahkamah Tinggi.

“Keputusan Lembaga Rayuan bukanlah peringkat yang terakhir, ini adalah proses undang-undang yang perlu dihormati oleh semua pihak,” ujar Kon Yeow.

KAMPUNG BESAR
Menurut Kok Fooi, Jalan Kampung Besar yang menjadi jalan pintas dari Kulim Ke Berapit tidak boleh dinaik taraf kerana status tanahnya masih di bawah milik Keretapi Tanah Melayu (KTM).

Pun begitu, jelas beliau, KTM secara verbal pernah menyatakan hasrat untuk menyerahkan tanah tersebut kepada Kerajaan Negeri tanpa kos, namun dokumen berwajib masih belum disediakan sepenuhnya oleh Jabatan Kerja Raya (JKR).

“Pelan PBT (pihak berkuasa tempatan) untuk jalan dua hala yang kita (JKR) hantar tak lengkap lagi.

“Peruntukan tahun ini telahpun diluluskan untuk kerja-kerja mengukur dan mereka bentuk cadangan jalan yang mahu dinaik taraf oleh JKR nanti, kalau ada peruntukan lagi pada tahun akan datang, projek penarafan jalan ini boleh dilakukan,” respons wakil JKR, Ayob Atan kepada Kon Yeow.

ISU TRAFIK BERBAHAYA
Selepas itu, rombongan Kon Yeow dibawa meninjau keadaan trafik sesak dan berbahaya dari fly-over dekat Tokong Dewa Guan Yin berhampiran BM Plaza.

Tak jauh dari sini, mereka dibawa melihat kesesakan trafik di jalan utama berhadapan Sekolah Persendirian Jit Sin.

Rozali memberitahu Kon Yeow bahawa 50 kilometer sejam (km/j) dari fly-over berkenaan telahpun diwartakan kepada 30 km/j, namun masih belum dikuatkuasakan oleh MPSP lagi.

“Kita akan kaji untuk kosongkan satu atau dua tapak parkir berhampiran pintu masuk ke Sekolah (Persendirian) Jit Sin ini.

“Langkah terbaik adalah melonggarkan penguatkuasaan trafik waktu pelajar-pelajar ke sekolah dan pulang ke rumah, bukan langkah saman yang sebenarnya akan mensesakkan lagi trafik di sini pada waktu puncak,” jelas Rozali.

Jelajah Sedia Mendengar Kon Yeow ke-11 yang bermula pada jam 10 pagi turut melawat beberapa lagi kawasan, sebelum tamat kira-kira jam 4 petang.

 if (document.currentScript) {