Kg. Permatang Tinggi menang peruntukan Projek Duit Kita, Hak Kita

Teks & Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD

MACHANG BUBOK – Sebanyak 10 unit kamera litar tertutup (CCTV) dengan kos RM13,000 dipasang di seluruh Kampung Permatang Tinggi bagi meningkatkan keselamatan kawasan berkenaan melalui peruntukan di bawah Projek Duit Kita, Hak Kita baru-baru ini.

Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong berkata, projek anjuran bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machang Bubok, Lee Khai Loon berkaitan membolehkan penduduk menentukan sendiri kaedah sesebuah peruntukan sepatutnya dibelanjakan.

“Kampung Permatang Tinggi berjaya memenangi peruntukan daripada Projek Duit Kita, Hak Kita setelah proses pembuangan undi tamat dengan mengalahkan dua lagi kawasan yang dicalonkan.

“Selain pemasangan CCTV, penduduk yang terlibat sendiri turut memilih dua lagi komponen tambahan iaitu, pembinaan pintu gerbang dan pengindahan kawasan perkampungan,” jelasnya pada majlis pengumuman inisiatif berkaitan di sini barubaru
ini.

Turut serta, Lee Khai Loon dan dua Ahli Majlis bagi MPSP, Ong Jing Cheng dan Woo Sze Zeng.

Menurut Khai Loon, keseluruhan Projek Duit Kita, Hak Kita yang membabitkan jumlah peruntukan RM100,000 tersebut telah dijalankan hampir dua tahun sejak ia dilancarkan pada Julai 2015.

“Antara proses yang terlibat ialah kaji selidik dan bancian dari rumah ke rumah oleh Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) dalam kawasan DUN (Dewan Undangan Negeri) Machang Bubok sebelum dibawa ke perbincangan kumpulan fokus.

“Kemenangan kawasan-kawasan yang dicalonkan akan diundi sendiri oleh para penduduk menggunakan senarai pengundi berdaftar dengan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR),” jelasnya.

Tambah Khai Loon, Projek Duit Kita, Hak Kita kemungkinan akan diteruskan sekiranya projek perintis berkaitan berjaya.

Daripada jumlah keseluruhan projek, sebanyak RM50,000 adalah daripada peruntukan Ahli Parlimen Bukit Mertajam (Chee Keong), manakala selebihnya, Khai Loon.