Syor jadikan Pulau Pinang hub pendidikan Asia dihargai – Kon Yeow

Admin

BAYAN LEPAS – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata pentadbirannya menyambut baik syor Kumpulan Syarikat Perniagaan Premium Pulau Pinang (PPBEG) yang mahu menjadikan negeri ini sebagai hub pendidikan rantau Asia.

Kon Yeow berkata demikian ketika menyampaikan ucapan alu-aluan, sebelum menjemput Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucaptama mengenai Arah Tuju Masa Depan Ekonomi Rakyat Malaysia, tadi.

“Antara inisiatif yang dicadangkan (oleh PPBEG) adalah menjadikan Pulau Pinang sebagai pusat pendidikan Asia, yang menawarkan kursus bersesuaian untuk memenuhi keperluan industri perkilangan dan perkhidmatan di Pulau Pinang.

“Saya ingin memuji usaha-usaha PPBEG yang begitu menyokong visi Kerajaan Negeri iaitu Penang2030 dengan memberi tumpuan kepada meningkatkan pendapatan isi rumah, ekonomi, penyertaan awam dan pembangunan seimbangan,” jelasnya sambil merakamkan penghargaan kepada Anwar dalam Power Talk: The Future Direction of Malaysia Economy di sini pada 29 April 2019.

Bercakap pada sesi dialog selepas itu, Anwar menyatakan bahawa Kerajaan Persekutuan seharusnya mengekalkan dasar afirmatif, dengan memberi peluang kepada pelajar luar bandar memasuki matrikulasi serta universiti awam atas faktor keperluan sosial.

“Kalau kita nak menggunakan sistem merit, kemudahan pembelajaran sekolah di bandar dan di luar mesti setara, tidak boleh sebaliknya.

“(Justeru,) kita tidak boleh menafikan pelajar dari kawasan pedalaman Kapit, Sarawak daripada masuk ke universiti atas sebab ada tiga Gred A sahaja.

“(Pengambilan pelajar) sepatutnya masih berdasarkan (sistem) merit, ya… juga berdasarkan keperluan,” responsnya ketika menjawab soalan moderator Datuk Dr. Kang Chin Seng.

Beliau dalam nada berseloroh turut memberitahu “tunggulah saya jadi Perdana Menteri dahulu,” ketika ditanya sama ada era pentadbirannya kelak boleh mempertimbang syor membiayai sepenuhnya projek pembangunan bercampur Pelan Induk Pengangkutan (PIP) Pulau Pinang.

Sebelum itu, Ketua Menteri Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow ketika menyampaikan ucapan alu-aluan, menjelaskan secara ringkas mengenai Penang2030 iaitu wawasan pembangunan masa depan negeri selama 11 tahun sehingga 2030.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS