Syor projek persisir pantai Pulau Pinang perlu kerjasama Pusat, Kon Yeow beritahu Dewan Rakyat

Admin
img 8041 KETUA Menteri merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan semasa membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat pada petang tadi (7 Mac 2024).

GEORGE TOWN – Kerajaan Pusat serta agensi-agensi Persekutuan berkaitan dimohon untuk membantu Kerajaan Negeri Pulau Pinang bagi memastikan cadangan pembangunan di pesisir pantai di negeri ini adalah selaras dengan pelan induk dan Rancangan Kawasan Khas (RKK) yang disediakan iaitu dengan mengambil kira aspek serta ciri-ciri warisan sedia ada.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow yang juga Ahli Parlimen Batu Kawan menyatakan perkara itu semasa mengambil bahagian membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat pada petang tadi (7 Mac 2024).

Mewakili Perbadanan Ketua Menteri (CMI), George Town Conservation and Development Corporation (GTCDC) serta Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Kon Yeow menyatakan bahawa pentadbirannya bersedia untuk bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Pengangkutan (MOT), Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (PPC) dan Perbadanan Aset Keretapi (RAC).

Sehubungan itu, beliau memohon kerjasama daripada agensi-agensi Kerajaan Persekutuan untuk mengadakan rundingan lanjut berhubung perkara itu bagi mencapai status Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).

Sebelum itu, Kon Yeow memberitahu bahawa Kerajaan Negeri, MBPP dan Think City Sdn. Bhd. membiayai kos Pelan Induk Pesisir Pantai Utara (North Seafront Masterplan) yang merangkumi 14 projek kemudahan prasarana awam dan ruang sivik, sebanyak RM140 juta.

Di bawah pelan induk tersebut, beliau memberitahu bahawa tujuh projek fizikal telah siap disempurnakan sementara satu projek lain akan disiapkan pada tahun depan.

“Sehingga kini… hampir R80 juta telah dibelanjakan oleh Kerajaan Negeri dan MBPP.

“Bagi projek di kawasan Pesisir Pantai Timur (East Seafront), ia masih belum dimulakan dan masih di fasa perancangan (yang mana) kebanyakan tapak adalah di bawah pemilikan PPC dan pemegang konsesi, Penang Port Sdn. Bhd. (PPSB),” ujarnya lagi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota.

Dalam perkembangan lain, Kon Yeow yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi turut membangkitkan isu kesesakan trafik yang mendesak di Lebuhraya Utara Selatan iaitu dari Tol Juru hingga Tol Sungai Dua untuk diberi perhatian oleh Kerajaan Persekutuan.

Selain itu, beliau turut memohon pihak berkenaan menyegerakan pelaksanaan Projek Air Perak – Pulau Pinang memandangkan hasrat itu dinanti-nantikan sejak tahun 2011.

Menurut beliau, projek tersebut bukan hanya memberi manfaat kepada negeri Pulau Pinang, malah kepada negeri-negeri utara Semenanjung Malaysia.

“Adalah diharapkan perjanjian projek berkaitan dapat dimeterai dan dapat dilaksanakan pada tahun ini juga,” ulasnya lanjut.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI