Syor Putrajaya tubuh SPV, terbit bon biayai PSR perlu perbincangan lanjut, respons Kon Yeow

Admin

GEORGE TOWN – Putrajaya mengesyorkan Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang menubuhkan syarikat bertujuan khas (SPV) untuk proses menerbitkan bon bernilai RM10 bilion, dengan jaminan Kerajaan Persekutuan pada kadar faedah terendah.

Mengulas lanjut, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa perkara itu adalah susulan langkah Kerajaan Negeri memohon pembiayaan awam sebanyak RM10 bilion daripada Kerajaan Persekutuan untuk membiayai kerja-kerja awal projek tambakan laut di perairan selatan pulau Pulau Pinang (PSR).

Menurut beliau, surat rasmi berwajib daripada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang bertarikh 1 Oktober 2019, diterima pada 15 Oktober lalu.

“Dengan surat ini, langkah seterusnya Kerajaan Negeri akan berhubung dengan Pejabat Perdana Menteri, Kementerian Kewangan untuk perbincangan seterusnya.

“Walaupun dalam surat (Kerajaan Negeri) sebut RM10 bilion dan dalam surat Perdana Menteri pun sebut RM10 bilion, tapi (penerbitan) bon-bon ini pada peringkat awal tidak perlu sampai RM10 bilion.

“Pada peringkat awal, RM1 bilion (hingga) RM2 bilion pun sudah cukup, dengan perjalanan projek (PSR) dan memulakan pembiayaan, maka jumlah (pembiayaan yang diperlukan) akan diterbitkan.

“Katakanlah (terbit) RM1 bilion, kemudian (terbit lagi) RM1 bilion sehingga tambakan (laut) berlaku, pulau (buatan) sudah terjadi, tanah (tambak) boleh mewujudkan hasil, maka, kita boleh kurangkan (penerbitan) bon-bon itu,” jelasnya yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Pengangkutan dan Komunikasi pada sidang media selepas penangguhan sesi tengah hari Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-12 di Dewan Sri Pinang dekat sini hari ini.

Turut serta, Exco Pembangunan Pelancongan dan Warisan, Kebudayaan & Kesenian (PETACH), Yeoh Soon Hin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Terubong.

Kon Yeow turut memberitahu bahawa beberapa pihak bank perdagangan ada menyatakan minat untuk memberi pinjaman mudah bagi membiayai PSR dan Pelan Induk Pengangkutan (PTMP) di negeri ini, kerana penarafan kredit Kerajaan Negeri adalah ‘AAA’.

Sebelum itu, Kon Yeow yang juga ADUN Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Tanjong dalam sesi soal jawab lisan pada pagi tadi turut memberi respons kepada ADUN Machang Bubuk, Lee Khai Loon berhubung isu berbangkit tersebut.

Ulasnya, Kerajaan Persekutuan mencadangkan Kerajaan Negeri menubuhkan sebuah SPV milik Kerajaan Negeri untuk mengeluarkan bon RM10 bilion dengan jaminan Kerajaan Persekutuan bagi membiayai kos pembinaan fasa 1 projek transit aliran ringan (LRT).

Pun begitu, Kon Yeow menyatakan bahawa Kerajaan Negeri juga akan memohon peruntukan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) bagi semua projek tersebut.

“Projek penambakan PSR akan tetap diteruskan demi menjamin perkembangan serta kelestarian pertumbuhan ekonomi Pulau Pinang pada masa hadapan,” ujarnya.

Beliau turut menzahirkan rasa kecewa dengan beberapa ADUN yang masih mempersoal kewajaran Kerajaan Negeri membiayai PSR melalui penerbitan bon (off-balance sheet financing).

“Saya cukup kecewa apabila soalan (tambahan) ini masih diajukan oleh beberapa YB (Pakatan Harapan),” katanya.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI
Video : LAW SUUN TING