Tabung COVID-19 negeri terima sumbangan RM7.1 juta, belanja RM2.5 juta – Ketua Menteri

GEORGE TOWN – Sehingga 5 November lepas, sejumlah RM7,103,395.83 sumbangan berjaya dikumpulkan melalui Tabung COVID-19 dan sejumlah RM2,547,741.00 telah dibelanjakan untuk memenuhi keperluan berkaitan di Pulau Pinang.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata demikian sebagai menjawab isu yang dibangkitkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya, Dr. Afif Bahardin dalam sesi soal jawab lisan di Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang pada pagi ini.

DR. Afif Bahardin

Menurut Kon Yeow yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Ekonomi dan Komunikasi lagi, sumbangan berkaitan diterima daripada pelbagai pihak seperti jabatan dan agensi kerajaan negeri, badan-badan berkanun negeri, syarikat kerajaan negeri, syarikat swasta, pertubuhan bukan kerajaan dan individu.

Sebagaimana dimohon oleh Dr. Afif, Kon Yeow yang juga ADUN Padang Kota turut membekalkan perincian butiran sumbangan dan perbelanjaan dalam jawapan bertulis berkaitan untuk rujukan anggota dewan.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ALISSALA THIAN