Tajaan pek makanan oleh NGO, badan korporat ke kawasan PKPD dialu-alukan – ADUN Paya Terubong

PAYA TERUBONG – Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Lion Club Bayan Baru mengambil tanggungjawab membekalkan 2,000 pek makanan tengah hari dan malam yang diperlukan oleh penduduk Persiaran Paya Terubong bagi tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) mulai 21 hingga 31 Disember ini.

YEOH Soon Hin

Sambil merakamkan penghargaan, Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Yeoh Soon Hin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Terobong berkata pihaknya berharap lebih banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tampil menghulurkan bantuan kepada anggota barisan hadapan serta penduduk yang terjejas hidup di kawasan berkenaan.

“PKPD dilanjutkan sehingga 31 Disember, maka ramai yang mengalami kesukarani untuk mendapatkan makanan, pergi kerja dan sebagainya.

“Jadi, Pusat Khidmat ADUN Paya Terubong telahpun mendapat tajaan 200 pek makanan setiap hari daripada Lion Club Bayan Baru dan APM.

“Saya juga berharap ada lebih banyak NGO dan (firma) korporat tampil membuat tajaan sumbangan bantuan dan sokongan kepada penduduk dan anggota barisan hadapan yang bertugas demi memastikan usaha memutuskan perebakan virus COVID-19 berjaya,” jelasnya kepada pemberita di sini pada 23 Disember 2020.

Bercakap pada sidang media sama, wakil APM memberitahu bahawa semua pek makanan yang dibekalkan ke kawasan PKPD Persiaran Paya Terubong adalah dijamin halal.

18 Disember lepas, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan mengumumkan pelanjutan tempoh pelaksanaan PKPD di Persiaran Paya Terubong, Mukim 13 (Timur Laut) Pulau Pinang, atas nasihat dan penilaian risiko yang dibuat oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Menurutnya, sehingga 17 Disember 2020 seramai 2,760 penghuni di Flat Persiaran Paya Terubong (Relau) di Mukim 13 (Timur Laut) sudah disaring dan 69 penghuni didapati positif Covid-19.

Teks & Gambar : ZAINUFAQAR YAACOB