Tak perlu perang mulut, selesaikan isu air secara rundingan – Ketua Menteri

Admin

BUKIT TAMBUN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang terbuka kepada sebarang perbincangan berkaitan pampasan RM50 juta setahun caj air mentah seperti yang dibangkitkan oleh Menteri Besar Kedah baru-baru ini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menegaskan bahawa isu tersebut tidak dapat diselesaikan dengan hanya tindakan ‘perang mulut’ di antara kedua-dua negeri.

Malah beliau menyatakan bahawa sebagai seorang pemimpin, tindakan tersebut hanya akan memberi gambaran yang amat buruk kepada rakyat di negara ini.

“Saya rasa rakyat tidak mahu melihat kedua-dua negeri melakukan ‘perang mulut’ di dalam media tetapi berharap agar satu perbincangan diadakan, dan pintu Komtar (Kompleks Tun Abdul Razak) sentiasa terbuka untuk menerima apa-apa tuntutan daripada kerajaan Negeri Kedah.

“Jadi, saya rasa lebih baik rundingan diadakan tanpa perlu perang mulut dan memberi gambaran yang amat buruk dengan melontarkan kenyataan tidak berasas sehingga ditertawakan oleh rakyat.

“(Sebagai pemimpin) kita perlu jaga imej kita dengan tidak sewenang-wenangnya menyuarakan perkara yang membuatkan rakyat berasa lucu serta kecewa,” katanya pada sidang media selepas menyemprnakan majlis pecah tanah bagi syarikat Iconic Worldwide Berhad dekat Batu Kawan di sini sebentar tadi.

Hadir sama, Exco Kebajikan dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh dan Pengarah Urusan Iconic Worldwide Berhad, Datuk Tan Kean Tet.

Tambah Kon Yeow, kerajaan Negeri Pulau Pinang sentiasa menyokong usaha negeri Kedah untuk mendapatkan pampasan daripada Kerajaan Persekutuan memandangkan isu sumber air mentah adalah di bawah bidang kuasa kerajaan Pusat.

“Selama ini, kita tegaskan bahawa isu sumber air mentah adalah di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan.

“Saya sendiri telah bawa rombongan Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk bertemu dengan Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA) di Putrajaya pada bulan Oktober lalu bagi membincangkan berkenaan isu ini.

“Menteri juga sudah menyatakan salah satu agenda beliau adalah untuk memastikan semua negeri mendapat sumber air mentah yang mencukupi kerana ini penting untuk semua negeri,” ujarnya.

Dalam pada itu, Kon Yeow sekali lagi mengulangi pendirian bahawa Pulau Pinang hanya mengekstrak sumber air mentah dari Sungai Muda di bahagian sempadan negeri sejajar dengan undang-undang dan hak antarabangsa.

“Bagaimanapun, kita masih terbuka terhadap sebarang berbincangan berkaitan tuntutan yang dikemukakan oleh kerajaan negeri Kedah,” ulasnya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : LAW SUUN TING
Video : CHAN KOK KUAN