Taman Botani warisan semula jadi negeri

Admin

TAMAN Botani Pulau Pinang atau juga dikenali sebagai Penang Botanical Gardens memainkan peranan penting sebagai kawasan riadah dan rekreasi bagi masyarakat tempatan.

Selain itu, taman tersebut juga merupakan warisan semula jadi negeri yang menyimpan kepelbagaian flora serta fauna unik sehingga ia digelarkan sebagai ‘paru-paru hijau’ bagi zon metropolitan negeri Pulau Pinang.

Dr. Saw Leng Guan.

Baru-baru ini, Buletin Mutiara berkesempatan menemu bual kurator di Jabatan Taman Botani Pulau Pinang, DATO’ DR. SAW LENG GUAN untuk mengetahui usaha terkini yang dijalankan bagi menambah baik perkhidmatan serta persekitaran taman tersebut.

Beliau yang telah berkhidmat selama empat tahun sebagai kurator di Jabatan Taman Botani Pulau Pinang menyatakan bahawa taman berkaitan merupakan yang tertua dalam negara dan wujud sejak 137 tahun lalu.

Justeru, beliau yang bersara secara rasminya pada 28 Mei 2021 meminta agar penggantinya serta kakitangan Jabatan Taman Botani Pulau Pinang untuk meningkatkan usaha dalam menjadikan taman berkaitan sebagai destinasi pilihan utama masyarakat dari dalam dan juga luar negara.

“Walaupun banyak lagi penambahbaikan perlu dilakukan di sini untuk keselesaan para pengunjung, tetapi taman ini wajar diberi pujian kerana lokasinya yang unik iaitu terletak hanya tiga hingga lima kilometer dari pusat bandar serta dikelilingi kawasan hutan semula jadi yang indah.

Landskap menarik yang menggamit jiwa untuk bertandang.

“Susun atur taman ini sangat unik dan sukar ditemui di tempat-tempat lain. Tambahan pula, lokasinya yang sangat dekat dengan hutan semula jadi membuatkan ia kelihatan sangat luar biasa. Inilah yang dinamakan alam semula jadi sebenar.

“Secara peribadi, bagi seseorang yang telah berkecimpung dalam bidang ini selama lebih dari tiga dekad, Taman Botani Pulau Pinang dilihat mempunyai beberapa kemudahan semula jadi terbaik yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata.

“Struktur kebun ini sangat indah dan menjadi salah satu faktor taman ini kelihatan sangat menonjol,” katanya kepada Buletin Mutiara semasa wawancara khas dekat pejabat pentadbiran Taman Botani Pulau Pinang pada 27 Mei lalu.

Mengulas lanjut, Leng Guan yang telah dilantik sebagai kurator di Jabatan Botani Pulau Pinang pada tahun 2017 menjelaskan bahawa beliau menghabiskan masa dalam dua tahun pertama untuk menyemak semula Rancangan Kawasan Khas (RKK) bagi taman berkenaan.

Menurut beliau, langkah itu adalah bertujuan menghidupkan semula ruang-ruang sedia ada untuk dinikmati oleh masyarakat tempatan atau pelancong antarabangsa.

Antara flora yang terdapat di Taman Botani.

“Setelah meneliti dan menyemak semula RKK secara menyeluruh, saya dan pasukan telah mengusahakan beberapa perkara di kawasan ini, termasuk mendirikan rumah tanaman dalaman (indoor) berdekatan kebun.

“Selain itu, beberapa usaha lain juga turut dijalankan seperti memasang kod QR pada plat logam yang diletakkan bersebelahan dengan pokok dan tanaman untuk membolehkan pengunjung memperoleh matlumat mengenai tumbuhan yang ada di taman ini.

“Langkah ini adalah penting kerana terdapat lebih daripada 400 spesies tanaman serta pokok di sini. Oleh itu, plat logam ini akan memudahkan pengunjung untuk mendapatkan maklumat mengenai pokok serta tanaman di sini dengan hanya mengimbas pada kod QR,” tambahnya.

Ditanya mengenai perancangan masa hadapan bagi Taman Botani Pulau Pinang, Leng Guan menjelaskan bahawa RKK yang meliputi kawasan seluas 212 hektar itu akan ditambah baik terutamanya daripada segi komposisi tanaman dan kemudahan kepada para pengunjung.

“Selain itu, kita juga akan membuat penambaikan daripada segi pengurusan pengumpulan tanaman, menaik taraf laluan pejalan kaki sedia ada dan membina ‘canopy walk’ serta menara tinjau berhampiran air terjun (Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang, PBAPP) yang terletak di dalam kawasan taman ini.

Kolam teratai gergasi yang tersergam indah.

“Untuk menjadikan Taman Botani Pulau Pinang lebih istimewa dalam masa terdekat sememangnya memerlukan tenaga kerja yang banyak serta berkemahiran di peringkat jabatan bagi meneruskan usaha ini.

“Taman adalah tempat di mana kita mengumpulkan tanaman dan bercerita mengenai tumbuh tumbuhan yang ada di sini.

“(Dan) untuk tujuan itu, tidak semestinya kita perlu memiliki pendidikan khusus

berkaitan tanaman, tetapi kadang-kala apa yang kita perlukan hanyalah keinginan untuk berusaha selain mempunyai minat yang mendalam terhadap tumbuhan alam semula jadi,” ulasnya.

Dalam pada itu, Leng Guan berkata bahawa walaupun usianya kini sudah mencecah 65 tahun, tetapi beliau masihmempunyai impian iaitu mahumemperluaskan lagi ilmu pengetahuan tentang pokok palma melalui satu kajian yang menyeluruh.

Difahamkan, beliau yang merupakan anak kelahiran Taiping, Perak telah mendapat pendidikan awal di Melaka dan meneruskan pendidikan sekolah menengah dekat Klang, Selangor.

Beliau mempunyai ijazah dalam bidang Botani dari Universiti Putra Malaysia (UPM) dan ijazah sarjana serta menamatkan pendidikan doctor falsafah (PhD) dalam program yang sama di University of Reading, United Kingdom.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : ALISSALA THIAN & AHMAD ADIL MUHAMMAD