Peniaga dan penjaja tepi jalan tidak berlesen disaran mohon lesen, permit sementara BFH – Datuk Bandar MBPP

Admin

GEORGE TOWN – Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) memberikan pengecualian bayaran yuran lesen perniagaan kecil sehingga akhir tahun 2021 dalam usaha membantu mereka yang tidak mempunyai lesen dan ingin memulakan perniagaan.

 

Datuk Bandar MBPP,  Dato’ Ar. Yew Tung Seang berkata, setakat ini pihaknya memperoleh senarai lebih 300 penjaja tepi jalan membabitkan sembilan (9) Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) di bahagian Pulau, antaranya di Batu Maung, Teluk Bahang, Batu Uban, Tanjung Bungah, Bayan Lepas, Pengkalan Kota dan Seri Delima.

AR. Yew Tung Seang.

 

“Walau bagaimanapun, hanya 99 daripadanya merupakan penjaja yang tidak berlesen dan baki merupakan peniaga atau peniaga di pasar malam serta bertagging.

 

“Setakat ini, MBPP mempunyai 601 gerai kosong di beberapa premis (milikan pihak berkuasa tempatan itu) yang mana 33 (gerai) daripadanya telah diambil baru-baru ini dan masih berbaki 500 lebih (gerai kosong).

 

“Oleh itu, saya ingin menggalakkan 99 penjaja tepi jalan yang tidak berlesen ini tampil untuk memohon dan pengecualian bayaran yuran lesen serta caj sewaan gerai akan diberikan sehingga akhir tahun ini.

 

“Bukan itu sahaja, MBPP juga memberikan pengecualian bayaran sewa gerai (melibatkan gerai dan penjaja di pasar, tapak penjaja sementara dan kompleks milikan MBPP sedia ada) sehingga akhir tahun ini,” ujarnya pada sidang media sejurus selepas mengadakan tinjauan di Pasar Awam Jalan Kuantan dekat sini pagi ini.

 

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Teh Lai Heng.

 

Mengulas lanjut, Tung Seang memaklumkan bahawa selain mengemukakan permohonan lesen perniagaan kecil, mereka yang ingin memulakan perniagaan atau yang tidak mempunyai lesen ini juga boleh  memohon untuk mendapatkan permit sementara, Business From Home (BFH). 

 

“Mereka yang menggunakan kediaman untuk menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan boleh memohonnya mengikut terma dan syarat yang ditetapkan,” katanya yang sedia membantu para penjaja tepi jalan atau mereka yang tidak mempunyai lesen untuk mendapatkan lesen ataupun permit sementara.

 

Menurut Tung Seang, susulan peningkatan kes COVID-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), pihaknya tidak menggalakkan sebarang aktiviti perniagaan atau penjajaan di tepi jalan.

 

“Pulau Pinang kini berada pada Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan sangat mencabar untuk MBPP mempertahankan status tersebut.

 

“Kita semua tidak mahu kembali ke Fasa 1 sebaliknya akan terus berusaha untuk ke Fasa 3,” tegasnya sambil berharap agar para peniaga dan penjaja di negeri ini dapat mematuhi arahan yang dikeluarkan bagi mengelak dikenakan tindakan di bawah peraturan pihak berkuasa tempatan itu.

 

JAGDEEP Singh Deo pada sidang media di Pasar Awam Jalan Kuantan awal pagi ini.

Dalam pada itu, Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo yang turut-serta dalam tinjauan berkaitan memberitahu bahawa rekod kes positif COVID-19 yang dicatatkan semalam (pada 13 Julai 2021) adalah yang tertinggi, setakat ini dan bukanlah suatu rekod yang boleh dibanggakan.

 

 

Sasaran kita adalah untuk ‘menurunkan’ jumlah kes (positif).

 

“(Dan) di Pulau Pinang, kita (Kerajaan Negeri) akan teruskan dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP)  serta penguatkuasaan yang tegas.

 

“Saya yakin kita boleh melakukannya dengan lebih baik dan ia memerlukan semua pihak untuk bekerjasama sebagai sebuah keluarga,” jelasnya.

 

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Soffian Santong ketika ditemui sejurus tinjauan tersebut, menasihati orang ramai supaya lebih peka dan bertanggungjawab terutama dalam soal pematuhan SOP.

 

ACP Soffian Santong.

“Sejak 1 Jun 2021 sehingga kini, sebanyak 408 kompaun oleh Polis DiRaja Malaysia (PDRM) telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan gagal mematuhi SOP.

 

“Angka ini menunjukkan bahawa masih terdapat dalam kalangan masyarakat ataupun premis perniagaan yang leka sehingga boleh menjejaskan perancangan untuk beralih ke Fasa 3 dan berikutnya.

 

“Antara kesalahan yang sering dilakukan adalah tidak mengimbas MySejahtera serta tidak memakai pelitup muka sedangkan perkara ini telahpun berulang-kali disebut-sebut sebelum ini,” jelasnya sambil mengulangi agar orang ramai mematuhi SOP yang ditetapkan.

 

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : CHAN KOK KUAN