SEBERANG JAYA – Kawasan lapang di Jalan Kelisa Emas 4, Taman Kelisa bakal diberi nafas baharu menerusi pembangunan Taman Madani yang dilengkapi pelbagai kemudahan rekreasi, termasuk gelanggang sepak takraw dan pickle ball untuk manfaat komuniti setempat.
Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jason H’ng Mooi Lye berkata, projek naik taraf bernilai RM500,000 itu merupakan antara usaha kerajaan bersama dengan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) dalam memperkasa ruang hijau dan kemudahan rekreasi berkualiti di Seberang Perai.
Menurutnya, projek berkenaan melibatkan kawasan seluas kira-kira 3,723.10 meter persegi membabitkan Lot 3777 dan Lot 3937 di bawah Parlimen Permatang Pauh dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Jaya.
“Ini merupakan Taman Madani ketiga dalam kawasan pentadbiran MBSP dan pembangunan ini bukan sekadar menyediakan kemudahan fizikal, tetapi turut mewujudkan ruang awam yang lebih inklusif, selesa serta mudah diakses masyarakat.
“Kawasan ini mempunyai tahap kebolehsampaian yang baik kerana jaraknya hanya sekitar 400 hingga 500 meter atau kira-kira lima hingga 10 minit berjalan kaki dari kawasan perumahan berhampiran,” katanya ketika sidang media berhubung projek berkenaan dekat sini pada 28 September 2026.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya, Izhar Shah Datuk Arif Shah; Datuk Bandar MBSP, Dato’ Baderul Amin Abdul Hamid; Penyelaras KADUN Seberang Jaya, Fayyadh Afiq Albakqry Jaafar Sidek; Ahli Majlis bagi MBSP, Ooi Yong Wooi dan Ngoh Cheng Hai; Pengarah Jabatan Landskap MBSP, Shaqhrony Md. Yusoff@Jamaludin serta Penolong Pengarah Kanan Jabatan Landskap MBSP, Siti Fatimah Ismail.



Mooi Lye berkata, selain kemudahan sedia ada seperti gimnasium luar dan bangku taman, projek naik taraf tersebut akan menampilkan pelbagai kemudahan baharu bagi memenuhi keperluan kanak-kanak, golongan dewasa, warga emas serta komuniti setempat.
Antara komponen yang bakal dilaksanakan termasuk laluan pejalan kaki, laluan penyelenggaraan, alat permainan bersepadu dan individu, alat senaman, bangku taman, penghadang motosikal berteraskan prinsip Universal Design, pintu masuk utama (entrance statement), papan tanda, swing gate, lampu solar serta kerja penanaman rumput.
Kemudahan sukan seperti gelanggang sepak takraw dan pickle ball turut menjadi antara tarikan utama yang bakal menghidupkan lagi fungsi kawasan lapang tersebut sebagai lokasi riadah dan interaksi sosial komuniti.
“Penyediaan kemudahan ini membolehkan kawasan lapang ini dimanfaatkan oleh pelbagai lapisan masyarakat, daripada kanak-kanak sehinggalah golongan dewasa dan warga emas.
“Pada masa sama, penerapan elemen Universal Design penting bagi memastikan pembangunan ini mengambil kira aspek kebolehcapaian dan keselesaan pelbagai kategori pengguna,” katanya.
Beliau berkata, projek berkenaan mempunyai tempoh pelaksanaan selama 20 minggu dengan tempoh tanggungan kecacatan (Defect Liability Period) selama enam bulan.
Menurutnya, kawasan berkenaan merupakan tanah lapang yang telah diserahkan kepada Kerajaan Negeri dengan Setiausaha Kerajaan Negeri sebagai Pegawai Pengawal, manakala MBSP bertindak sebagai agensi penyelenggara.
Katanya, pelaksanaan projek itu turut selaras dengan komponen strategik Keterlibatan Komuniti di bawah Seberang Perai Strategic Priority yang digariskan pengurusan tertinggi MBSP.


“Kerajaan Negeri bersama MBSP komited untuk terus meningkatkan kualiti kawasan lapang di seluruh Seberang Perai supaya ruang rekreasi yang disediakan benar-benar memenuhi keperluan masyarakat setempat.
“Saya berharap projek ini dapat disiapkan mengikut tempoh ditetapkan dan paling penting, masyarakat turut memainkan peranan menjaga kebersihan, keselamatan serta kemudahan yang disediakan,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Mooi Lye berkata pihak berkuasa tempatan (PBT) turut terus memantau pelaksanaan Perintah Khidmat Masyarakat (PKM), khususnya membabitkan kesalahan membuang sampah kecil.
Beliau berkata, tindakan tersebut merupakan antara pendekatan yang dilaksanakan bagi meningkatkan kesedaran awam terhadap kepentingan menjaga kebersihan persekitaran.
“Bagi kes pertama di bahagian pulau, individu berkenaan telah dikenakan khidmat masyarakat selama lapan jam yang dilaksanakan selama dua jam pada setiap Ahad, bermula 26 September 2026.
“Di bawah seliaan MBSP pula, sebanyak enam kes telah diserahkan kepada mahkamah untuk tindakan mengeluarkan saman,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa penguatkuasaan dan pendidikan masyarakat perlu bergerak seiring bagi memastikan ruang awam yang dibangunkan kerajaan terus berada dalam keadaan bersih, selamat dan selesa untuk dinikmati semua.
“Ruang awam yang baik bukan hanya bergantung kepada kemudahan yang dibina, tetapi juga kepada sikap masyarakat dalam menjaga dan menghargainya,” katanya.

Oleh: SUNARTI YUSOFF
Gambar: NOOR SITI NABILAH NOORAZIS