Tambah lima lintasan zig zag, semarak kesedaran keselamatan pejalan kaki

Admin

GEORGE TOWN – Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) terus menyemarakkan kempen keselamatan pejalan kaki sekitar George Town dengan penambahan lima lagi lintasan pejalan kaki berkonsepkan garisan ‘zig zag’.

 

Menurut Exco Kerja Raya, Utiliti dan Tebatan Banjir, Zairil Khir Johari, konsep garisan zig zag mungkin asing bagi warga Malaysia, namun, ianya digunakan secara meluas di negara-negara maju.

 

“Sebnarnya projek ini telah dilancarkan pada akhir tahun lepas dengan satu projek perintis garisan zig zag di Jalan Burma.

 

“Daripada satu yang kita buat itu sekarang kita ada enam (lintasan zig zag) dengan lima yang baharu… di Lebuh Light (hadapa Dewan Undangan Negeri, DUN), Lebuh Pantai (persimpangan Lebuh Bishop), Jalan Kampung Kolam (persimpangan Masjid Kapitan Keling).

 

“Dua lagi adalah di Jalan Penang (berdekatan persimpangan Lebuh Chulia) dan Persiaran Gurney berdekatan Anjung Gurney,” jelas Zairil dalam satu sidang media di Jalan Gurdwara hari ini.

Hadir sama, Ahli Majlis bagi MBPP, Tan Hooi Peng.

 

Demi menyemarak lagi kesedaran awam, Zairil berkata bahawa MBPP turut mengambil inisiatif menayangkan video pendek di tiga pawagam TGV di Pulau Pinang secara percuma, sebelum tayangan filem bermula.

 

“Satu inisiatif baharu bagi kempen kesedaran awam ini adalah penayangan tiga video pendek di papak iklan LED sekitar George Town.

 

“Video-video pendek ini memaparkan beberapa mesej keselamatan jalan raya dalam Bahasa yang berlainan dan ditayangkan secara percuma melalui khidmat penyampaian awam MBPP di bagi papan iklan LED tersebut,” tambah Zairil yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bunga.

 

Sementara itu, Hooi Peng pula memberitahu bahawa suatu kaji selidik yang dilakukan baru-baru ini mendapati 95 peratus responden sedar kewujudan zig zag dan akan memperlahankan kenderaan di garisan tersebut.

 

Untuk rekod, pada tahun 2017, pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan turut melancarkan kempen ‘Pedestrian Is King’ yang bertujuan menjadikan bandar raya ini bebas halangan kepada pejalan kaki serta meningkatkan kesedaran awam dalam kalangan pengguna kenderaan.

 

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : DARWINA MOHD. DAUD