Tampil Komuniti wajah baru, berorientasi kekeluargaan

BERTAM – Agenda keharmonian rumahtangga menjadi fokus utama dalam pelaksanaan Pesta Tampil Komuniti meliputi kelima-lima daerah di negeri ini, kata Dato’ Mohd. Rashid Hasnon.

Timbalan Ketua Menteri I itu berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan agensi negeri, Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC) demi menjayakan agenda tersebut.

“Kita (Kerajaan Negeri) mesti pergi ke tempat-tempat yang tidak pernah kita pergi melalui Pesta Santai Rakyat sebelum ini. “Perkara pertama yang mesti diberikan fokus adalah berkaitan keharmonian rumah tangga,” katanya yang juga Exco Pembangunan Industri, Perdagangan Antarabangsa, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Perhubungan Masyarakat.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Pesta Tampil Komuniti Peringkat Daerah Seberang Perai Utara (SPU) di Padang Awam Taman Panglima di sini baru-baru ini. Menurut Mohd.

Rashid, Pesta Tampil Komuniti tersebut adalah wajah baru serta langkah penjenamaan semula daripada Pesta Santai Rakyat, yang dianjurkan pada tahun lalu.

Di pentas sama, Exco Belia & Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Chong Eng menasihatkan semua pihak supaya mengutamakan keharmonian keluarga, sungguhpun masing-masing dihambat dengan lebih satu pekerjaan untuk terus hidup pada era ekonomi negara kian mencabar kini.

“Kebahagiaan tidak boleh dibeli dengan duit ringgit, di pasar raya pun tidak dijual, kaya belum tentu bahagia, manakala, keluarga yang berpendapatan sederhana lebih bahagia.

“Maka, semua orang mesti mengutamakan keharmonian keluarga, dan Kerajaan Negeri pun sedaya upaya melaksanakan program kekeluargaan seumpama Pesta Tampil Komuniti ini,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Lalang.

Hadir sama, Pemangku Ketua Pengawai Eksekutif PWDC, Datin Rohana Weiler, Hakmal Effendi (Penolong Pegawai Daerah SPU); Pegawai Penyelaras Kawasan Dewan Undangan Negeri (PPK) Bertam, Asrol Sani Abdul Razak; Muhasdey Mohamad (PPK Pinang Tunggal); Mustafa Kamal Ahmad (PPK Teluk Air Tawar) dan Lay Hock Peng (PPK Khas).

Lebih 20 gerai pameran dibuka, antaranya oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Zakat Pulau Pinang (ZPP), Persatuan Seni Silat Gayung Malaysia dan sebagainya.

“Ustaz manis”, Imam Muda Asyraf dan kumpulan Qasidah Ar-Rayyan antara artis yang mengisi persembahan pentas di sini.

Pelbagai sukan rakyat turut dianjurkan, antaranya acara lari dalam guni, mencanting batik, pertandingan mewarna serta mengukir atas buah-buahan tempatan.