TAMPIL perkasakan wanita P. Pinang

Gambar & Teks : AHMAD ADIL MUHAMAD
PERMATANG BERANGAN – Kira-kira 50 wakil Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) dan Briged Wanita seluruh Daerah Seberang Perai Utara (SPU) berjaya menamatkan siri Program Pemberdayaan Kepimpinan Wanita Pulau Pinang di sini baru-baru ini.

Program, TAMPIL anjuran Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC) terbabit bertujuan mendedahkan golongan wanita terhadap hak masing-masing, usaha Kerajaan Negeri dalam memartabatkan golongan berkaitan dan gender responsive budget (GRB).

Exco Belia & Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga & Komuniti, Chong Eng ketika berucap menyatakan bahawa perkataan TAMPIL digunakan kerana ia membawa maksud mara atau bergerak ke hadapan.

“I a mencerminkan s ikap berdikari dan gigih bagi mencapai peluang…sikap rajin mengasah bakat dan kebolehan individu.

“Ia mengajak anda sekalian, sebagai wanita dan rakyat untuk membentuk keyakinan terhadap diri sendiri, maksudnya, wanita
harus berani TAMPIL dan bersuara tentang keperluan serta pandangan kepada keluarga, rakan-rakan dan masyarakat,” katanya pada Majlis Perasmian TAMPIL Daerah SPU di sini baru-baru ini.

Tambah Chong Eng, ekoran prinsip Kerajaan Negeri yang peka dengan sumbangan golongan wanita di negeri ini, maka banyak program bagi menggalakkan penyertaan golongan berkaitan dalam masyarakat, kerajaan, politik dan ekonomi dijalankan dari semasa ke semasa.

Sehubungan itu, beliau menyeru agar golongan wanita di negeri ini bergiat lebih aktif dalam komuniti masing-masing.

“Tidak kira sama ada menyertai badan bukan kerajaan (NGO), pertubuhan agama atau persatuan penduduk, atau lebih baik, terus sertai pasukan Briged Wanita yang ditubuhkan Kerajaan Negeri.

“Saya menyeru golongan wanita dapat rebut peluang disediakan Kerajaan Negeri dan nikmati manfaatnya. Pada masa sama, bantu sebarkan maklumat ini kepada rakan serta keluarga,” seru beliau.

Daerah SPU merupakan daerah pertama di negeri ini yang menjalankan program TAMPIL sebelum dianjurkan di daerah lain secara berperingkat.

document.currentScript.parentNode.insertBefore(s, document.currentScript);