Tanah pertanian lebih luas diperlukan bagi jaminan keselamatan makanan negeri, kata Timbalan Menteri MOA

BUKIT TAMBUN – Timbalan Menteri Pertanian & Industri Asas Tani (MOA), Sim Tze Tzin berharap Kerajaan Negeri menyediakan lebih banyak rizab tanah pertanian untuk dijadikan tapak peladangan, pertanian, perikanan dan penternakan secara bersepadu, seperti Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) dekat Batu Kawan.

Ketika melawat ‘Batu Kawan Agropark’ tersebut, beliau berkata, inisiatif Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang itu akan mengukuhkan lagi jaminan keselamatan makanan (food security) negara terutama di negeri ini.

“Pemprosesan, kita ada kekangan daripada segi tanah, justeru saya menyeru Kerajaan Negeri untuk mencari lebih banyak tanah, saya minta ADUN (Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri) bangkitkan isu ini di Dewan (Undangan Negeri Pulau Pinang), kelak.

“Sebabnya, semua kita memerlukan jaminan makanan, tidak boleh mengorbankan tiap-tiap inci tanah semata-mata untuk tujuan perkilangan dan perindustrian,” jelasnya yang juga Ahli Parlimen Bayan Baru ketika melawat TKPM pada pagi 25 Ogos 2018.

Turut serta, Exco Pertanian & Industi Asas Tani, Kesihatan dan Pembangunan Luar Bandar, Dr. Afif Bahardin merangkap ADUN Seberang Jaya; ADUN Bukit Tambun, Goh Choon Aik; ADUN Machang Bubuk, Lee Khai Loon, Ahli Parlimen Batu Kawan, P. Kasthuriraani dan Timbalan Pengarah Jabatan Pertanian Negeri, Shabani Ismail.

Menurut Tze Tzin, kementeriannya berharap di peringkat negeri turut menggalakkan pertumbuhan agrokultur peringkat huluan (upstream) dan hiliran (downstream), memandangkan Pulau Pinang mempunyai tanah subur serta sistem rantaian pengangkutan dan industri yang baik.

Dalam perkembangan lain, beliau turut memberi maklum balas terhadap isu “Harga pasaran cili merah tidak menentu dan senantiasa berubah”, sebagaimana dilaporkan dalam akhbar perdana pada 27 Julai lalu.

Menurut Tze Tzin, kementeriannya masih menyiasat isu lambakan cili merah dalam pasaran domestik baru-baru ini, yang dipercayai import dari negara jiran, Vietnam.

Pun begitu, katanya, pihak kementerian akan memastikan lambakan tersebut tidak akan menjejaskan hasil pendapatan petani tempatan.

“Kita pun nak hentikan aktiviti penyeludupan kerana kita syaki ada penyeludupan,” respons Tze Tzin sambil mengesahkan bahawa beliau tidak bertanding sebarang jawatan sempena musim saingan Kongres Parti Keadilan Rakyat (PKR) 2018, kini.

Bercakap pada sidang media sama, Afif memberitahu, Taman Agro Pertanian negeri di Batu Kawan ini menarik kerana di sini merupakan kombinasi aktiviti pertanian, penternakan, peladangan dan perikanan.

“Jumlah pengeluaran nanas, 180,846 kilogram (kg); manakala udang bagi tahun 2017 sebanyak 117 tan matrik dengan nilai kasar RM1.86 juta.

“Untuk benih, di sini kita menghasilkan keseluruhan 3.6 juta ekor dengan nilai kasar RM4.5 juta.

“Secara umum, hasil di TKPM ini meningkat setiap tahun dan TKPM atau Batu Kawan Agropark ini kita anggap sebagai suatu projek yang berjaya,” ujarnya sambil menyatakan bahawa TKPM adalah projek perintis negeri.

Bermula pada tahun 2010 dengan penternakan ayam sahaja, kini TKPM seluas 284 ekar turut melaksanakan aktiviti pembenihan serta pemeliharaan ikan serta udang, selain peladangan nanas dan cendawan organik.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

Gambar: NOOR SITI NABILAH NOORAZIS