Tanah strategik PDC akan dibangunkan sendiri, Ketua Menteri beritahu Guan Eng

KETUA Menteri

GEORGE TOWN – Sejak lebih 50 tahun lepas, Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) berjaya membangunkan sembilan taman perindustrian bagi memastikan ekosistem ekonomi negeri kian menarik minat pelabur asing dan pelabur domestik.

Mengulas lanjut, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa agensi negeri tersebut akan membangunkan sendiri kawasan perindustrian baharu bagi kawasan-kawasan strategik tanpa melibatkan pihak swasta.

Pun begitu, beliau yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi menyatakan bahawa PDC menerima cadangan projek pembangunan secara kolaborasi dengan pihak swasta hanya bagi kawasan kurang strategik dan berisiko tinggi serta melibatkan kos yang tidak kompetitif.

Kon Yeow yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan memberitahu bahawa pihaknya semasa sesi penggulungan pada minggu lepas telahpun menjelaskan perkara berkaitan projek kolaborasi antara PDC dan Umech Land Sdn. Bhd. dalam membangunkan kawasan perindustrian yang melibatkan tanah seluas 559 ekar yang dikenali sebagai Taman Perindustrian Batu Kawan 2 (BKIP2) dekat Byram, Batu Kawan.

LIM Guan Eng

Penjelasan itu sekali gus menjawab perkara yang dibangkitkan oleh ADUN Air Putih, Lim Guan Eng dalam sesi soal jawab lisan berhubung senarai tanah milik PDC yang telah diserahkan kepada pihak swasta untuk tujuan pembangunan kawasan perindustrian serta menarik pelaburan masuk ke negeri ini.

Guan Eng turut membangkitkan persoalan berhubung PDC tetap akan memainkan peranan utamanya dengan membuka dan membangunan tanah perindustrian sama ada secara sendiri ataupun secara usaha sama.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR & SITI NURATIKAH RAHMAT
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS