Tanam 1,000 bakau demi alam

SUKARELAWAN dan para peserta bertungkus-lumus menanam pokok-pokok paya bakau bagi kepentingan ekosistem marin di sini baru-baru ini.
SUKARELAWAN dan para peserta bertungkus-lumus menanam
pokok-pokok paya bakau bagi kepentingan ekosistem marin di
sini baru-baru ini.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

SUNGAI ACHEH – Lebih 1,000 anak pokok paya bakau ditanam berhampiran Pusat Penyelidikan Paya Bakau, di sini yang membabitkan hampir 50 sukarelawan baru-baru ini.

Program sukarelawan itu adalah kendalian bersama Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), syarikat Delta Business Solutions Sdn. Bhd. dan beberapa wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berwajib yang lain.

Ahli Majlis bagi MPSP, Stevan Sim Chee Keong merasmikan acara sukarelawan tersebut baru-baru ini.

Dua spesis anak paya bakau, iaitu Bakau Minyak (Rhizophora Apiculata) dan Bakau Tengar (Ceriops Tagal) dipilih demi menjayakan program pemuliharaan alam tersebut.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak penganjur kerana merancang program yang penuh bermanfaat pada alam sekitar.

“Ini (program sukarelawan tanam pokok paya bakau) adalah selaras dengan (kempen) Pulau Pinang Bersih, Hijau, Sihat dan Selamat untuk seluruh warga Pulau Pinang,” ujarnya kepada pemberita di sini.

Pengerusi Kumpulan Kerja Alam Sekitar Pulau Pinang, Datuk Dr. Ong Hean Tee dan Ilias Shafie (Presiden Persatuan Kebajikan Nelayan Pantai Pulau Pinang, PIFWA) turut hadir pada program tersebut.

Chee Keong berkata, Kerajaan Negeri memperuntukkan lebih RM92 juta di bawah Bajet 2013 demi memastikan pembangunan prasarana dan modal insan di Seberang Perai lebih mampan.

Sebelum pada itu, Pengarah Urusan Delta, Choo Eng Hin berkata, acara sukarelawan tersebut diadakan pada 24 Disember tahun lepas sempena memperingati tragedi tsunami yang berlaku pada tarikh sama pada tahun 2004.

“Melalui program penanaman ini, kami berharap dapat membantu memperbaiki keadaan seperti yang kita mengiktiraf kepentingan bakau dalam ekosistem marin,” kata Eng Hin.