Tang Hak Ju – fitnah Hock Nan & UMNO PP libatkan wang rakyat

Admin

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI

GEORGE TOWN – Dalam sebuah laporan akhbar bertarikh 7 Februari 2012, Pengerusi Gerakan Pulau Pinang, Datuk Dr. Teng Hock Nan dan UMNO Pulau Pinang telah membuat tuduhan serius ke atas Ketua Menteri, Y.A.B Tuan Lim Guan Eng berkaitan skandal tanah Tang Hak Ju yang hakikatnya terjadi di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN).

Hock Nan menuduh Ketua Menteri telah membuat pembayaran kepada Tang Hak Ju atas kepentingan peribadi
beliau. Malah, mereka (Hock Nan dan UMNO Pulau Pinang) telah mendesak Ketua Menteri memohon maaf dan
menarik semula istilah ‘skandal’ dalam kes Tang Hak Ju.

“Ini adalah suatu fitnah yang serius kerana tuduhan mereka (Hock Nan dan UMNO Pulau Pinang) itu melibatkan wang rakyat,” ulas Ketua Menteri dalam sidang media yang diadakan di pejabat beliau di sini baru-baru ini.

Tambah beliau lagi, Kerajaan Negeri telahpun membayar RM14,678,135.50 atas perintah mahkamah dan juga nasihat Penasihat Undang-undang Kerajaan Negeri yang dilantik oleh Peguam Negara sendiri pada 18 Mei 2009.

“Saya telah menolak desakan mereka dan mencabar mereka untuk saman malu ke atas saya atau Kerajaan Negeri. Namun, tiada respon sehingga hari ini,” kata beliau yang turut mempersoalkan sekiranya Kerajaan Negeri berjaya mengurangkan pembayaran saman kepada RM500,000, adakah mereka (Hock Nan dan UMNO Pulau Pinang) sedia tanggung jumlah tersebut dan sejumlah RM14,678,135.50 yang telahpun dibayar kepada Tang Hak Ju sekiranya Tang Hak Ju enggan memulangkan RM14,678,135.50 ini?

Selain itu, Ketua Menteri turut menegaskan bahawa beliau telah meminta Hock Nan mengemukakan bukti atas pertuduhan tersebut. Pada masa sama, Ketua Menteri turut meminta mereka untuk menarik balik kenyataan dan memohon maaf secara terbuka. Namun, kegagalan mereka telah memaksa Ketua Menteri untuk mengambil tindakan saman malu atas kenyataan yang berunsurkan fitnah ke atas Hock Nan.

Kerajaan Negeri telah membayar RM14,678,135.50 iaitu 50% daripada kos ganti rugi berjumlah RM29.4 juta kepada Tang Hak Ju tanpa mengambilkira bayaran faedah yang dianggarkan berjumlah RM10 juta.

“Saya rasa kesal kerana pentadbiran Kerajaan Negeri BN dahulu di bawah Tan Sri Koh Tsu Koon dan Teng Hock Nan (Hock Nan) enggan bekerjasama dalam kes tersebut, khususnya menyelesaikan kes ini di luar mahkamah seperti yang ditawarkan oleh Tang Hak Ju dengan ganti rugi yang jauh lebih rendah iaitu RM1.8 juta,’’ ujarnya.

Kes pertindihan tanah di Lot 954 dan Lot 955, Mukim 20 Seberang Perai Tengah dengan hak milik sementara H.S.(D) 49060, PT.91, Mukim 20 Seberang Perai Tengah berlaku apabila Kerajaan Negeri BN ‘tersilap’ memberi kelulusan tanah dan permit kuari kepada Tang Hak Ju atas tanah yang tidak dimiliki oleh Kerajaan Negeri sebaliknya milik pihak swasta.