‘Tanjong Life New Norm’, karya terbaru Azmi Hussin papar suka duka pandemik

Admin

AZMI HUSSIN…Nama kartunis yang tidak asing lagi dalam kalangan penggiat seni karikatur di Pulau Pinang, bahkan di Malaysia.

 

Turut disapa dengan panggilan Me, anak jati Pulau Pinang kelahiran Seberang Jaya itu memulakan kerjaya sebagai pelukis potret jalanan di sekitar kawasan Padang Kota Lama pada 2013.

 

Walaupun baru tidak sampai sedekad, karya hasil keringat anak muda yang berusia 37 tahun ini mula mendapat perhatian dan sambutan. Malah, dia kini mempunyai studio miliknya, Me Sketch Studio berdekatan Farlim.

 

Wartawan Buletin Mutiara, WATAWA NATAF ZULKIFLI dan jurugambar DARWINA MOHD. DAUD sempat menemu bual pemilik nama sebenar MOHD. AZMI MOHD HUSSAIN ini.

 

Latar belakang penglibatan seni

 

Bukan sahaja digelar sebagai kartunis, Azmi juga merupakan pelukis karikatur, mural dan ilustrasi. Malah, dia juga turut berjinak-jinak dengan seni lukisan menggunakan kopi.

 

Menceritakan permulaan perjalanan sebagai pelukis potret jalanan, Azmi memberitahu bahawa sejak dia berpeluang untuk menyertai Penang Interactive Museum pada tahun 2014, kerjaya seninya mula berkembang.

 

 

“Sejak kecil lagi saya memang minat lukis kartun, bermula daripada situ juga saya mula hantar karya-karya saya ke majalah-majalah terkenal seperti Gila-Gila, Ujang dan sebagainya.

“Pernah juga satu ketika saya meninggalkan bidang seni Lukis ini untuk sementara waktu dan fokus kepada hobi berbasikal jenis BMX, namun kembali semula kerana telah sebati dengan jiwa” ujarnya memulakan bicara.

 

Menurut Azmi, sejak kecil dia amat gemar melukis kartun seperti ‘Thunder Cat’ dan ‘Popeye’.

 

“Dulu saya langsung tidak mempunyai fokus apabila melakukan sesuatu…tapi sekarang saya telah tetapkan yang kerjaya sebagai kartunis ini sebagai fokus utama.

 

“Lain-lain job yang masuk tu hanya sebagai sampingan bagi membolehkan saya mendapatkan sedikit pendapatan…kerana saya sedar kunci kejayaan kartunis sohor sebelum ini adalah fokus,” katanya.

 

Demi mengasah bakat sedia ada, Azmi pernah memasuki salah sebuah kolej seni swasta di negeri ini.

 

“Saya masuk pada tahun 2010, cuma setahun tetapi belajar tidak habis,” selorohnya yang mengakui kini sedang mempersiapkan diri menceburi penghasilan karya berdigital.

 

Difahamkan, semua hasil karya miliknya kini terhasil daripada lukisan tangan tanpa mengggunakan apa-apa aplikasi moden mahupun digital. Menyedari keperluan semasa, dia kini sedang membuat persiapan untuk belajar menggunakan digita bagi penghasilan karya.

 

Lat sebagai idola

 

Azmi menjadikan Datuk Mohammad Nor Mohammad Khalid atau lebih dikenali dengan panggilan Lat sebagai idola.

 

“Memang dia (Lat) menjadi idola saya.

 

“Walaupun ada yang kata karya saya mirip Datuk Lat tapi sebenarnya ada perbezaannya.

 

“Karya kartunis ulung itu lebih simple latar belakangnya, tetapi karya saya, saya hasilkan dengan sarat untuk menampakkan suasana penceritaan,” katanya yang lebih menerapkan warisan masyarakat di Pulau Pinang dalam karyanya.

 

Pengiktirafan MBOR

Sebagai pemegang Malaysia Book of Records sebanyak dua kali, Azmi tidak mudah mendongak ke langit malah menganggap pengiktirafan itu sebagai penghargaan atas keringatnya selama ini.

 

“Pengiktirafan yang saya dapat adalah melalui lukisan menggunakan kopi terpanjang (tahun 2019) dan karikatur terbanyak dilukis dalam masa 24 jam (tahun 2017).

 

“Selain itu, ada juga terima Anugerah Kartunis Pulau Pinang dan Anugerah Kembara Pekomik (2018),” katanya lagi.

 

Azmi turut berbangga apabila salah satu karyanya terpilih dan diterima untuk dipamerkan di Croatia pada Ogos ini.

 

Cabaran Pandemik COVID-19

 

 

Azmi Hussin tidak terkecuali tatkala pandemik COVID-19 ‘membadai’ dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Mac 2020, aktiviti seninya sedikit sebanyak terjejas.

 

“Sekarang kerja luar tak boleh buat, walaupun bidang seni ia dikira sama seperti kerja-kerja renovasi juga, jadi saya tidak boleh buat kerja-kerja melukis di luar.

 

“Banyak kerja-kerja saya terpaksa dibatalkan bukan sahaja sebab itu bahkan kerana pihak yang ambil saya untuk upah melukis itu juga terjejas dari segi pendapatan jadi mereka terpaksa batalkan.

 

“Kerja-kerja yang saya maksudkan adalah lukisan dinding ataupun mural, tetapi komisen kerja lain sikit-sikit itu adalah sikit-sikit,” ujarnya yang turut mendapat upah melukis dari luar Pulau Pinang.

 

Perancangan dan Harapan

 

Membuka studio seni di tingkat enam dekat Kompleks Pasar Awam dan Pusat Makanan Farlim, Azmi Hussin merancang untuk mengadakan kelas lukisan di situ.

 

“Saya sewa dari Disember tahun lepas, tiba-tiba lock down balik, jadi terbantut sikit, bukan tidak mahu buat secara dalam talian, tapi kerja-kerja karikatur kurang efektif kalau macam itu (dalam talian).

 

 

“Sebelum ini memang pernah juga buat kelas dengan Perbadanan Perpustakaan Awam Pulau Pinang (PPAPP) dan sambutan amat baik,” jelasnya lagi.

 

Sekiranya anda pernah membaca buku Tanjong Life, itu merupakan naskah agung Azmi Hussin yang sudah memasuki edisi keempat.

 

“Naskah terbaharu (Tanjong Life New Norm) menceritakan mengenai zaman pandemik yang kita lalui sekarang, perkara ini akan jadi satu kenangan yang sukar untuk kita lupakan dan boleh ceritakan kepada anak cucu kita nanti apabila sudah 20, 30 tahun akan datang mengenai suka duka pandemik yang kita lalui hari ini.

 

“Saya mula dengan Tanjong Life, The Little Mamak, Little Mamak Lost in Bagan sebelum naskah terbaharu yang akan dilancarkan dalam masa terdekat sewaktu Festival George Town,” katanya.

 

Dalam pada itu, beliau merakamkan ucapan terima kasih kepada orang ramai yang kerap menjadi ilham untuknya berkarya melalui kisah-kisah spontan di jalanan.