Tarik lebih ramai pelabur, wujudkan banyak pekerjaan berkualiti boleh makmurkan ekonomi rakyat – Kon Yeow

Admin

BERTAM – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata pentadbirannya percaya bahawa usaha menarik lebih ramai pelabur serta mencipta lebih banyak peluang pekerjaan berkualiti bagi tahun 2020, akan mengukuhkan lagi kemakmuran ekonomi rakyat serta keharmonian sesama kaum di Pulau Pinang.

Katanya, RM13.3 bilion jumlah pelaburan yang diluluskan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) ke Pulau Pinang bagi tempoh bulan Januari hingga September 2019 (Q3 2019) melalui 113 projek perindustrian serta berjaya mencipta kira-kira 15,013 peluang pekerjaan baharu merupakan rekod terbaik Kerajaan Negeri pada tahun lepas demi memakmurkan ekonomi rakyat.

“Kita (rakyat) tahu bahawa Kerajaan Negeri pada tahun 2020 akan meneruskan usaha pembangunan khususnya dari sektor industri.

“Kita (Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang) amat syukur kerana tahun 2019 merupakan tahun paling baik bagi negeri Pulau Pinang dalam menarik pelaburan dengan mendirikan kilang-kilang berteknologi tinggi serta berjaya mewujudkan lebih 15,000 jawatan baru.

“(Justeru,) kita (Pulau Pinang) akan menghadapi pelbagai cabaran namun saya percaya jika kita bertungkus-lumus pada pembangunan, maka, kita boleh mewujudkan suasana harmoni dalam kalangan rakyat jelata di negeri ini,” ucapnya pada Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina anjuran Pejabat Pegawai Penyelaras Khas (PPK) Kepala Batas di sini tadi.

Kon Yeow yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Pengangkutan dan Komunikasi turut merakamkan penghargaan kepada PPK Kepala Batas, Lay Hok Peng kerana konsisten menganjurkan acara tahunan tersebut sejak sebelum tahun 2008 lagi iaitu ketika Kerajaan Negeri masih dikuasai Barisan Nasional (BN).

Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pinang Tunggal turut berucap pada majlis tersebut.

Hadir sama, Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar merangkap ADUN Sungai Puyu, Phee Boon Poh; ADUN Sungai Pinang, Lim Siew Khim; Tan Khong Chong (wakil kepada Menteri Kewangan merangkap Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng).

Ribuan hadir yang terdiri daripada pelbagai kaum diraikan dengan pelbagai persembahan pentas, selain juadah makanan yang enak.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : NUR AFIQAH ZAINUDI
Video : AHMAD ADIL MUHAMAD