Tarik minat orang muda dalam sektor pertanian

Admin

AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak, FAHMI ZAINOL antara figura muda membarisi senarai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco) Negeri Pulau Pinang yang mengangkat sumpah pada 16 Ogos lalu.

Pada Pilihan Raya Negeri Ke-15 (PRN-15) pada 12 Ogos lalu, beliau berjaya memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Jerejak selepas menewaskan pencabarnya dengan memperoleh sebanyak 14,116 undi.

Kini, Fahmi, 32 tahun dipertanggungjawabkan mengetuai portfolio Agroteknologi & Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi yang dianggap antara bidang tugas yang sangat mencabar khususnya ketika negara sedang mengalami kelembapan ekonomi.

Baru-baru ini, wartawan Buletin Mutiara, SUNARTI YUSOFF dan jurugambar AHMAD ADIL MUHAMAD berkesempatan menemu bual Fahmi untuk mengetahu visi dan misi beliau bagi tempoh lima tahun akan datang.

Latar belakang

Fahmi merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran dan Keadilan Sosial dari Universiti Malaya (UM) dan aktivis mahasiswa.

Beliau mula terlibat dalam arena politik selepas dilantik sebagai Presiden Persatuan Mahasiswa UM (PMUM).

“Sejak itu, saya mula tahu tentang politik dan menceburkan diri dalam bidang ini dan menyertai pilihan raya kampus UM pada tahun 2011 dan 2012 dan dilantik sebagai Presiden PMUM.

“Dari situ, saya mula kenal pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan parti-parti politik tetapi saya digantung pengajian selepas menjemput Datuk Seri Anwar Ibrahim ke penganjuran pidato “40 Tahun: Dari UM ke Penjara” pada tahun 2014.

“Pada masa itu, Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah memberikan biasiswa berjumlah RM10,000 kepada saya sebagai menggantikan Biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang telah ditamatkan susulan insiden penggantungan tersebut,” ujarnya.

Fahmi berkata, beliau mengambil keputusan untuk bergiat secara aktif dalam politik selepas menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada November 2015 sejurus menamatkan pengajian.

“Pada tahun 2017, saya bekerja dengan Pejabat Ahli Parlimen Permatang Pauh dan seterusnya di Pejabat PKR negeri Pulau Pinang dan pada PRN-15 lalu, saya dipilih sebagai ADUN Pantai Jerejak.

“Saya juga telah dipilih sebagai Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Permatang Pauh sejak tahun 2022,” katanya.

Pengalaman dan cabaran

Fahmi menyatakan bahawa beliau berasa amat teruja untuk bekerja bersama-sama barisan kepimpinan Kerajaan Negeri Pulau Pinang di bawah pimpinan Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow yang mempunyai pengalaman luas dalam pentadbiran negeri.

“Saya rasa ini merupakan pengalaman pertama untuk saya dan saya mahu buktikan bahawa orang muda juga boleh diberikan ruang serta peluang dalam mentadbir negeri,” ujar anak jati Pulau Pinang yang dilahirkan di Jelutong.

Ditanya apakah cabaran yang mungkin beliau hadapi apabila memegang tanggungjawab berat pada usia muda, Fahmi memberitahu bahawa cabaran utama adalah bagaimana beliau mahu mengekalkan prestasi portfolio yang disandangnya kini.

“Portfolio yang saya ketuai ini agak mencabar kerana penyandang-penyandang sebelum ini telah menunaikan tanggungjawab mereka dengan sebaik mungkin.

“Tambahan pula, Pulau Pinang menduduki tempat pertama dari segi hasil purata pengeluaran padi dalam negara dan ia menjadi cabaran untuk mengekalkan momentum dalam memastikan pencapaian ini terus ditingkatkan atau paling kurang mengekalkan prestasi semasa,” katanya.

Selain itu menurut beliau, cabaran lain adalah untuk memastikan penglibatan golongan muda dalam sektor pertanian dan koperasi.

“Ini kerana, pada masa ini kita lihat penglibatan golongan muda sangat kurang dalam bidang pertanian dan koperasi.

“Semasa saya mengunjungi koperasi pertama di Bayan Baru bau-baru ini, saya dapati kebanyakan ahlinya adalah terdiri daripada golongan pertengahan dan warga emas.

“Oleh itu, saya berharap saya dapat merangka suatu strategi dalam memastikan orang muda mengambil bahagian untuk membantu Kerajaan Negeri khususnya dalam sektor pertanian,” ulasnya.

Walau begitu menurut Fahmi, pengalaman dilantik sebagai Ahli Majlis Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) selama dua tahun diyakini dapat membantu beliau dalam menghadapi cabaran-cabaran tersebut.

“Pengalaman sebagai Ahli Majlis sangat membantu khususnya gerak kerja di DUN Pantai Jerejak.

“Tambahan pula, saya pernah memegang jawatan sebagai ahli bagi One Stop Centre (OSC) di MBSP, jadi saya ada pengetahuan dari segi pembangunan bandar,” katanya yang pernah menganggotai jawatankuasa tender.

Fokus utama

Mengulas lanjut, Fahmi berkata bahawa beliau akan memberikan tumpuan kepada beberapa aspek dalam memastikan projek atau program di bawah bidang agroteknologi dan keterjaminan makanan dilaksanakan secara bersepadu dan mampan.

“Saya cuba bayangkan Pulau Pinang ini seperti Singapura yang mana saiznya kecil dan tidak mempunyai tanah yang luas tetapi mampu menjadi sebuah negeri yang baik,” ujarnya.

Justeru, beliau akan berusaha untuk memperkasakan lagi program pertanian menegak iaitu satu kaedah pertanian yang mana semua aktiviti penanaman dijalankan dalam bangunan yang dilengkapi dengan segala infrastruktur seperti sebuah ladang yang lengkap.

“Kaedah ini amat sesuai dengan negeri Pulau Pinang yang bersaiz kecil.

“Tumpuan juga akan diberikan kepada aspek pelaburan dalam teknologi pertanian moden bagi memenuhi keperluan makanan yang mencukupi untuk rakyat Pulau Pinang di samping mempergiatkan lagi program pertanian bandar.

“Selain itu, pelaburan dalam bidang tanaman agro juga perlu diberikan perhatian memandangkan kedudukan Pulau Pinang yang agak strategik iaitu bahagian pulau yang dikelilingi lautan dan tanah darat yang agak baik di bahagian Seberang Perai,” tambahnya.

Mengulas lanjut, Fahmi menyatakan bahawa paling penting adalah Kerajaan Negeri perlu berusaha untuk meningkatkan kemahiran para pemain agroteknologi dalam usaha menambah hasil sekali gus memastikan bekalan makanan adalah mencukupi.

“Kita (Kerajaan Negeri) hendak menaik taraf kemahiran mereka dengan mengadakan kerjasama dengan Pusat Pembangunan Kemahiran Pulau Pinang (PSDC) dan sektor koperasi.

“Pada masa sama, kita juga hendak pastikan Pulau Pinang menjadi sebuah pulau koperasi dan menjuarai sektor koprerasi berbanding negeri-negeri lain,” ujarnya penuh yakin.

Perancangan dan harapan

Ditanya mengenai rancangan sekurang-kurangnya untuk tempoh 100 hari, Fahmi memberitahu bahawa beliau akan meneliti terlebih dahulu dasar yang dilaksanakan oleh Kerajaan Persekutuan terutamanya bagi sektor pertanian.

“Ini adalah untuk mengelakkan timbulnya perbezaan dasar yang boleh menjejaskan usaha kita dalam meningkatkan keterjaminan makanan terutamanya dalam keadaan Kerajaan Negeri dan Persekutuan adalah selari.

“Kita akan kaji dasar Kerajaan Persekutuan dan akan keluarkan perancangan bagi negeri Pulau Pinang bagi jangka masa pendek, sederhana dan panjang tidak lama lagi.

“Paling penting adalah kita mahu penggunaan teknologi yang lebih canggih dalam sektor pertanian bagi memastikan hasil pengeluaran lebih tinggi di samping menarik minat orang muda ke dalam sektor ini,” ujarnya.

Beliau dalam pada itu mengulangi seruan agar golongan muda dapat bersama-sama dengan Kerajaan Negeri dengan memberi idea serta pandangan dalam pembangunan negeri khususnya berkaitan portfolio Agroteknologi & Keselamatan Makanan dan Koperasi.

“Saya harap anak muda dapat memberikan idea dan pandangan serta menyumbang tenaga untuk membangunankan negeri pulau pinang,

“Kalua boleh saya mahu lebih ramai pakar-pakar daripada kalangan anak muda tampil membantu saya untuk memastikan Pulau Pinang lebih terkehadapan dalam ketiga-tiga bidang ini,” katanya menutup bicara.