Tarikan tersendiri Gurney Paragon

Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI 

REKA bentuk bangunan Gurney Paragon yang dilengkapkan dengan ciri-ciri warisan dan tradisional yang unik.
REKA bentuk bangunan Gurney Paragon
yang dilengkapkan dengan ciri-ciri warisan dan tradisional yang unik.

TANJUNG TOKONG – Perasmian St. Jo’s pada 16 Januari lalu bukan sahaja mampu menarik nilai pelaburan berjumlah RM35 juta, malah, turut menjadikan Pulau Pinang sebagai salah sebuah destinasi pelancongan dan syurga membeli-belah terkemuka di Malaysia.

Menurut Ketua Menteri, Y.A.B Tuan Lim Guan Eng, walaupun Gurney Paragon tidak terletak dalam kawasan Warisan Dunia UNESCO, namun, pihak pemaju, iaitu Hunza Properties Berhad (HPB) telah menerapkan ciri-ciri warisan dan tradisional yang unik dan mampu menarik perhatian pengunjung yang melalui kawasan Persiaran Gurney.

“Hunza (HPB) bukan sahaja menggabungkan seni bina bercirikan warisan, malah, bertaraf antarabangsa dan moden, selaras dengan visi Pulau Pinang dalam menjadi sebuah negeri bertaraf antarabangsa kelak,” ujar Ketua Menteri yang hadir bersama isteri beliau, Betty Chew pada Majlis Perasmian St. Jo’s di sini baru-baru ini.

Dalam pada itu, beliau turut menyatakan bahawa sejak George Town mendapat status Bandaraya Warisan Dunia UNESCO pada 2008, jumlah kemasukan pelancong luar negara meningkat saban tahun. Malah, nilai pelaburan dalam negeri turut melonjakkan nama Pulau Pinang sebagai destinasi pelancongan yang unik dan mengujakan selain menjadi pilihan para pelabur.

Beliau yakin dengan perasmian St. Jo’s (dahulu dikenali sebagai Saint Joseph Novitiate; sebuah bangunan warisan yang dibina pada 1918) yang terletak di Pusat Membeli-belah Gurney Paragon mampu mentransformasikan Pulau Pinang dalam pelbagai aspek.

Gurney Paragon bukan sahaja mempunyai kawasan pusat membeli-belah berkeluasan 700,000 kaki persegi, malah, turut mempunyai dua menara 43 tingkat yang mempunyai 220 unit kediaman mewah, pusat hiburan untuk semua lapisan usia dan sebuah menara pejabat.

Menurut Pengerusi Eksekutif Kumpulan HPB, Datuk Khor Teng Tong, pelbagai acara keraian dan keramaian boleh dijalankan di sini (Gurney Paragon) memandangkan Gurney Paragon menawarkan bukan sahaja kesenian, warisan dan hiburan, malah, turut menawarkan fasiliti bertaraf global.

Sehingga hari ini, Gurney Paragon mempunyai beberapa rangkaian restoran terkemuka antaranya T.G.I Friday’s, The Coffee Bean, Goku Roku Ramen dan Tea Leaf and Meet Fresh.