Tarikh baharu siapkan pemasangan sensor PSP 24 Sept. – Exco

Admin

GEORGE TOWN – Syarikat HeiTech Padu Berhad (HTP) mesti menyiapkan kerja-kerja pemasangan baki 997 lagi sensor fasa 1 projek perintis sistem letak kereta pintar, Penang Smart Parkir (PSP) bagi kedua-dua kawasan pulau dan Seberang Perai sebelum 24 September ini.

Mengulas lanjut, Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo memberitahu bahawa aplikasi PSP yang tidak boleh dimuat turun oleh pengguna android sebelum ini telah berjaya diselesaikan oleh syarikat pengendali sehari lebih awal sebelum ketetapan tempoh masa baharu iaitu pada 23 Ogos 2019.

“Apabila timbul dua isu tidak patuh pada pelan pelaksana projek asal, mesyuarat Exco telah memberi tarikh (siap pasang) yang baharu…mereka (HTP) komited untuk memasang 647 sensor bagi kawasan pulau dan Seberang Perai (350) sebelum atau pada tarikh 24 September 2019,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat pada sidang media Komtar pada 22 Ogos 2019.

Turut serta, Datuk Bandar bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ar. Yew Tung Seang; Yang di-Pertua Majlis Perbandaran Seberang Perai (MBPP), Dato’ Sr. Rozali Mohamud; Setiausaha Bandaraya MBPP, Dato’ Ir. Addnan Mohd. Razali dan Naib Presiden Eksekutif HTP, Abdul Halim Md. Lassim.

Sebelum itu, Jagdeep menjelaskan inti jawapan Notis Tunjuk Sebab HTP kepada kedua-dua pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Pihak Berkuasa Negeri.

Menurut beliau, HTP menyatakan bahawa isu sensor tidak dapat dipasang mengikut tempoh masa yang dipersetujui sebelum ini adalah berpunca oleh isu teknikal seperti bekalan aksesori berwajib milik syarikat berkenaan bagi projek perintis berkaitan tersangkut di lapangan terbang Hong Kong.

“Memandangkan permasalahan itu, ia tidak dapat diangkut ke Pulau Pinang.

“Mereka (HTP) dalam proses mengangkutnya ke Pulau Pinang melalui kapal laut…dijangka tiba di Kuala Lumpur pada 29 Ogos 2019, tiba di Pulau Pinang pada 6 September (2019),” ujarnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Jagdeep menafikan info di beberapa media sosial kononnya Kerajaan Negeri membelanjakan RM115 juta untuk pembiayaan projek PSP berkenaan.

Tegas beliau, projek perintis fasa satu PSP sendiri dilaksanakan secara pendanaan pelaburan swasta (PFI) dengan HTP menanggung segala perbelanjaan pembangunan (CapEx) dan perbelanjaan pengurusan (OpEx) bagi projek tersebut.

Jika projek perintis berkaitan berjaya, ulasnya, HTP akan diberi konsesi mengendali projek PSP melibatkan kira-kira 36,000 tapak parkir awam di seluruh negeri ini dalam tempoh tujuh tahun, dengan peratusan hasil untung daripada kenaan caj parkir secara atas talian akan dipulangkan kepada syarikat pengendali swasta berkenaan.

Dalam pada itu, Tung Seang berkata bahawa pihaknya mengalu-alukan aduan rakyat langsung kepada pihak MBPP untuk memperbaiki isu-isu teknikal sepanjang projek perintis fasa 1 PSP tersebut dilaksanakan.

Rozali pula meminta aduan pengguna berhubung projek perintis tersebut diemel terus kepada [email protected].

Sementara itu, Abdul Halim merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri serta kedua-dua PBT berkenaan kerana memberi peluang kepada HTP untuk menyempurnakan kerja-kerja berwajib bagi projek perintis fasa 1 PSP tersebut.

Pada 20 Ogos lalu, Jagdeep mengumumkan langkah kedua-dua PBT memberi Notis Tunjuk Sebab kepada HTP kerana tidak mematahi pelan pelaksanaan projek yang telah ditetapkan.

Dua isu tersebut adalah, pengguna adroid tidak boleh memuat turun aplikasi PSP dan 997 sensor masih belum dipasang mengikut tempoh masa yang telah ditetapkan.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ALISSALA THIAN