Taska D’Komtar 2.0 penuhi penjagaan dan penyeliaan kanak-kanak penjawat awam negeri

MULA beroperasi pada tahun 2014, Taska D’Komtar menyediakan perkhidmatan penjagaan kanak-kanak yang pertama untuk penjawat awam di Komtar. 

Bertitik tolak pada kejayaan itu, Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) dan Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC) pada tahun ini telah membina sebuah taska baharu bagi tujuan yang sama dek ingin memenuhi kapasiti senarai menunggu yang saban hari kian meningkat.

Buletin Mutiara baru-baru ini berkesempatan menemu bual Ketua Pegawai Eksekutif PWDC, ONG BEE LENG sedikit banyaknya mengenai pembinaan Taska D’Komtar 2.0 ini.

 

KETUA Pegawai Eksekutif PWDC, Ong Bee Leng.

Menurut Bee Leng, penubuhan Taska D’ Komtar 2.0 merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) pihak PDC dek tajaan keseluruhan kos pengubahsuaian.

“Bagi memenuhi tanggungjawab sosial korporat, PDC turut menaja pengubahsuaian dua lot kedai di Komtar dan telah melabur sebanyak RM150,000 bagi melaksanakan projek pembinaan taska baharu ini.

“Antara kerja-kerja pengubahsuaian dan penambahbaikan yang dijalankan merangkumi penyediaan bilik-bilik keperluan, memasang kemasan lantai, siling baru, dinding, kerja-kerja perpaipan untuk tambahan tandas dan pantri mengikut spesifikasi yang diperlukan untuk sebuah taska.

“Di samping itu, banyak juga kekangan yang dihadapi semasa perancangan membina taska ini antaranya dari segi aspek mengatasi bekalan air, kondisi bangunan yang sudah lama dan lain-lain lagi, disebabkan itu juga pada awalnya pihak PDC agak berat untuk meluluskan permohonan (Taska D’Komtar 2.0) ini,” ujarnya semasa sesi wawancara baru-baru ini.

Sementara itu, Bee Leng turut memaklumkan penubuhan taska ini juga seiring dengan permintaan ibu bapa yang mahukan ‘sebuah’ lagi pusat jagaan.

“Kerajaan Negeri juga prihatin akan kepentingan kewujudan taska yang juga selari dengan keperluan ibu atau bapa yang bekerja terutamanya penjawat awam Kerajaan Negeri Pulau Pinang serta lain-lain agensi dibawahnya.

“Oleh itu, Kerajaan Negeri telah membuat keputusan untuk membina Taska D’Komtar 2.0 dalam usaha memastikan kanak-kanak di Pulau Pinang mendapat penjagaan yang terbaik serta menjadi tanggungjawab pihak PWDC untuk memantau dan menilai prestasi taska bersama pihak operator,” katanya lagi.

ANTARA elemen pengubahsuaian Taska D’Komtar yang menelan kos RM200,000 mengikut spesifikasi yang diperlukan sebuah pusat jagaan kanak-kanak.

Buletin Mutiara difahamkan, lot bagi Taska D’Komtar 2.0 terletak di unit 2B 4.16 dan unit 2B 4.17 Podium B, dengan jumlah keluasan 1,895 kaki persegi yang juga bersebelahan dengan taska asal di Aras 4 dekat Komtar. 

Mengulas lanjut, Bee Leng turut menyatakan bahawa pusat taska baharu itu bakal mempunyai kapasiti seramai 32 kanak-kanak, sama juga seperti taska asal.

“Taska baharu ini bakal menampung kanak-kanak berumur dari empat tahun ke bawah, dengan syarat salah seorang ibu bapa mereka merupakan seorang kakitangan kerajaan.

“Manakala penjaga bagi kanak-kanak dianggarkan seramai 10 ke atas bergantung juga terhadap bilangan bayi kecil dan kanak-kanak dek perlu pemantauan yang khusus kerana difahamkan seorang penjaga hanya mampu memantau dua ke tiga kanak-kanak sahaja.

“Taska baharu ini juga sudah siap sepenuhnya, hanya tinggal beberapa lagi prosedur perlesenan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang dimaklumkan masih lagi dalam proses,” jelasnya lanjut.

Dalam pada itu, Bee Leng turut berharap Taska D’Komtar 2.0 akan memberi inspirasi kepada kedua-dua sektor awam dan swasta untuk mewujudkan sebuah pusat jagaan kanak-kanak di tempat kerja supaya lebih ramai ibu boleh bekerja. 

“Statistik telah menunjukkan kadar tenaga buruh wanita menurun secara drastik apabila sudah melahirkan anak dek ketiadaan penjaga serta yuran pusat jagaan di luar kemampuan.

“Penubuhan taska baharu ini juga bertujuan meringankan beban para ibu terutamanya kerana tidak perlu lagi khuatir lagi tentang penjagaan anak mereka apabila keluar bekerja, saya ingin menghapuskan stigma apabila seorang wanita semakin meningkat usia, semakin sikit pula peratusan wanita yang bekerja.

“Oleh itu, PWDC turut mengadakan perbincangan bersama-sama pihak JKM, majikan, dan ibu bapa untuk merangka rancangan pusat jagaan kanak-kanak yang selamat dengan harga yang berpatutan serta mudah diakses dengan aktiviti kurikulum dan pendidikan yang terbaik,” ulasnya lanjut.

DETIK majlis perasmian Taska D’Komtar 2.0 dekat Komtar baru-baru ini.

Menutup sesi wawancara, Bee Leng turut memfokuskan kesinambungan penjagaan kanak-kanak apabila telah melebihi umur empat tahun kelak.

“Apabila kanak-kanak telah mencapai umur lima tahun, (mereka) dari Taska D’Komtar kemudiannya boleh meneruskan sesi pendidikan prasekolah ke Tadika Whytehouse di Tech Dome Penang yang terletak di Komtar juga.

“Pendidikan prasekolah di situ dimaklumkan juga berpatutan dan berkualiti tinggi serta dapat melahirkan kanak-kanak yang dapat memupuk sifat nilai murni serta cemerlang dalam pelajaran asas,” serunya menutup bicara.

 

Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL

Gambar : LAW SUUN TING