Teater Muzikal P. Ramlee sempena GTF 2015

GEORGE TOWN – Penganjuran George Town Festival (GTF) atau Festival George Town 2015 pasti berbeza dengan penampilan sebuah teater muzikal unggul, Teater Muzikal P. Ramlee berjudul ‘Dari Pulau Pinang ke Singapura’ sebagai tribute khas lagenda seni tanahair, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee.

Teater terbitan Enfiniti Vision Media Sdn. Bhd. tersebut bakal menampilkan kolaborasi terbaik gandingan Datin Sri Tiara Jacquelina sebagai Norizan, Tony Eusoff (P. Ramlee), Nadia Aqilah (Saloma) dan Datuk Aznil Nawawi (D’ Harris) sebagai pendukung watak utama.

Pengarah GTF, Joe Sidek melahirkan rasa gembira dan bersyukur kerana hasratnya untuk membawa ‘masuk’ teater seni bertaraf antarabangsa berkaitan akhirnya terlaksana.

“Saya begitu teruja apabila Datin Sri Tiara (Tiara) dan krew produksi beliau sudi bergandingan dalam penganjuran GTF dan pastinya kali ini menjanjikan pengalaman yang tidak dapat dilupakan.

“Tahun demi tahun, kita (pihak penganjur) cuba untuk menampilkan kelainan dan menyokong hasil karya kesenian bukan sahaja daripada artis-artis tempatan, tetapi juga antarabangsa.

“Begitu juga GTF kali ini, kita menampilkan pelbagai persembahan, pertunjukan dan pameran bermula dari 1 hingga 31 Ogos nanti,” katanya pada sidang media pengumuman rakan kongsi utama dan acara kemuncak utama GTF di sini baru-baru ini.

Turut hadir mempengerusikan sidang media berkaitan adalah Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng.

Dalam pada itu, Joe Sidek turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Ketua Menteri atas sumbangan dan sokongan Kerajaan Negeri Pulau Pinang dalam merealisasikan sambutan GTF sejak tahun 2008.

“Kami sebagai penganjur amat terharu dengan sokongan Kerajaan Negeri dan berterima kasih atas kebebasan yang diberikan untuk kami berkarya dan menjadi lebih kreatif di Pulau Pinang.

“Saya yakin dan jamin, kami akan terus meraikan kreativiti seni selagi adanya sokongan Kerajaan Negeri dan juga penyertaan rakan-rakan kongsi ,” ujar beliau.

Dalam pada itu, ketika bercakap kepada pemberita, Tiara yang juga merupakan penerbit Teater Muzikal P. Ramlee melahirkan rasa teruja apabila diberi peluang untuk mempersembahkan karyanya di Pulau Pinang.

Beliau yang hadir bersama suaminya, Tan Sri Datuk Seri Mohd. Effendi Norwawi menyifatkan peluang untuk mengadakan pementasan di tempat kelahiran Seniman Agung itu adalah sangat mencabar.

“Bukan mudah apabila hasil karya Tan Sri P. Ramlee dipentaskan di Pulau Pinang, tempat k e l a h i r a n b e l i a u . Bagaimanapun, saya yakin, kami di pihak produksi sangat gembira untuk berkongsi kriteria figura istimewa ini yang memberi impak besar t e r h a d a p i n d u s t r i perfileman dan hiburan tanah air.

“Pementasan kali ini akan lebih berbeza dari segi interpretasi dalam setiap dinamika watak, tak sabar rasanya untuk menghiburkan penonton di sini dan Pulau Pinang adalah destinasi pertama kami dalam siri jelajah Teater Muzikal P. Ramlee, ‘Dari Pulau Pinang ke Singapura’,” jelasnya.

Bagi Tony Eusoff, peluang membawa watak penting itu dilihat sebagai pengalaman yang cukup indah dalam perjalanan karier seninya.

“Sasaran peribadi saya pastinya mahu memberi persembahan terbaik dalam menyempurnakan watak Tan Sri P. Ramlee. Penonton pasti terhibur,” katanya ringkas.

Teater berkenaan bakal dipentaskan pada 28 hingga 30 Ogos 2015 di Dewan Sri Pinang.

Harga tiket adalah bermula dari RM83. Ia boleh didapati di kaunter Penang Evolution Music House, Plaza Gurney atau secara atas talian di www.ticketpro.com.my atau hubungi +603 – 6142 9877. Harga tiket adalah tertakluk pada terma dan syarat.

Untuk senarai penuh aktiviti seni sepanjang FGT 2015, sila layari laman sesawang di www. georgetownfestival.com.