Tebang pokok tanpa kebenaran denda RM100,000

Oleh : ZULIANA AZIZ

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang memandang serius berkaitan kegiatan menebang pokok-pokok tua yang terpelihara oleh mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab atas tujuan tertentu.

Terkini, kejadian yang berlaku di persimpangan Jalan Jelutong dan Sungai Pinang di mana terdapat lima batang pokok tua yang berusia dalam lingkungan lima hingga enam tahun yang mempunyai ketinggian enam meter telah ditebang oleh pihak yang tidak dikenali.

Siasatan mendapati, empat kesan tunggul pokok seperti baru ditebang jenis nos Khaya Sinegalesis manakala satu lagi telah lama tiada pokok (telah lama ditebang kerana pokok tidak sihat) dari jenis yang sama.

Menurut Akta Perancang Bandar dan Desa 1976, Akta 172, 35A (4), mana-mana pihak melanggar mana -mana
peruntukan dalam perintah pemeliharaan pokok merupakan suatu kesalahan dan boleh dikenakan, apabila disabitkan, denda tidak lebih daripada RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.

Bagi memulihara kembali kawasan pokok yang telah ditebang, sebanyak empat batang pokok baru spesis hutan (Dyera Costula-Jelutong) telah ditanam.

Ini kerana spesis pokok hutan mempunyai daya ketahanan hidup yang baik di samping memperkenalkan spesis pokok hutan di dalam kawasan bandar.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Pengurusan Lalulintas, Chow Kon Yeow berkata, perbuatan menebang pokok-pokok tua oleh pihak yang tidak bertanggungjawab itu amat melukakan hati kerana, pokok-pokok baru akan mengambil masa antara enam hingga tujuh tahun untuk mencapai ketinggian yang sama.

Oleh sebab itu, Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) akan mula melaksanakan inventori pokok pada tahun 2012 khusus kepada pokok-pokok warisan bagi mengekang perbuatan tidak bertanggungjawab seperti ini daripada berulang.

Seterusnya, MPPP akan melaksanakan inventori pokok di seluruh Pulau Pinang secara berperingkat untuk melaksanakan undang-undang penebangan pokok tanpa kebenaran Majlis secara holistik.

AHLI Majlis MPPP, Ong Ah Teong (dua dari kanan) menyiram pokok baru yang ditanam sambil disaksikan Presiden Persatuan Kontraktor Kelas F, Tahir Jalaludin (kanan sekali), Chow Kon Yeow (tengah), Yang DiPertua MPPP, Ar. Patahiyah Ismail (dua dari kiri) dan Ahli Majlis MPPP, Teh Lai Heng.
AHLI Majlis MPPP, Ong Ah Teong (dua dari kanan)
menyiram pokok baru yang ditanam sambil
disaksikan Presiden Persatuan Kontraktor
Kelas F, Tahir Jalaludin (kanan sekali), Chow
Kon Yeow (tengah), Yang DiPertua MPPP,
Ar. Patahiyah Ismail (dua dari kiri) dan Ahli Majlis
MPPP, Teh Lai Heng.