Tech Dome Penang rai sedekad inovasi, 10,000 pengunjung bakal nikmati kemasukan percuma

Admin
whatsapp image 2026 05 26 at 14.14.20

GEORGE TOWNTech Dome Penang (Tech Dome) bakal meraikan ulang tahun ke-10 dengan penganjuran pelbagai program berimpak tinggi termasuk kemasukan percuma selama 10 hari kepada 10,000 pengunjung, pembukaan galeri angkasa baharu, program outreach sekolah serta pengiktirafan kecemerlangan pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (STEM) di Pulau Pinang.

Timbalan Ketua Menteri II, Jagdeep Singh Deo berkata, perjalanan Tech Dome sepanjang 10 tahun bukanlah sesuatu yang berlaku secara kebetulan, sebaliknya hasil usaha berterusan semua pihak termasuk rakan strategik yang memainkan peranan penting kepada pembangunan negeri.

“Perjalanan ini hanya dapat direalisasikan melalui kerja keras semua terutama ahli-ahli lembaga Penang Tech Centre Berhad yang mana mereka juga wajar diberikan pengiktirafan atas sumbangan yang sangat penting kepada Pulau Pinang.

“Justeru, sambutan ulang tahun ke-10 pusat penerokaan ini menjadi simbol komitmen berterusan negeri dalam membina masyarakat yang lebih berdaya saing melalui pendidikan STEM,” ujarnya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah Penang Tech Centre Berhad di Komtar hari ini.

whatsapp image 2026 05 26 at 14.14.19
SEBAHAGIAN Ahli Lembaga Pengarah dan wakil yang menghadiri sidang media di sini.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Teh Lai Heng merangkap Ahli Lembaga Pengarah Penang Tech Centre Berhad; Ketua Pegawai Eksekutif Penang Tech Dome, Ts. Khoo Boo Wooi dan Ketua Pegawai Eksekutif Penang STEM 4.0, Datuk Richard Chung.

Turut hadir, barisan ahli lembaga pengarah lain, antaranya Presiden Malaysia Semiconductor Industry Association (MSIA), Datuk Seri Wong Siew Hai; Pengarah Urusan MEI Project Engineers Sdn. Bhd., Datuk Ir. Lim Kok Khong; Pengurus Besar Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang, Dato’ Cheok Lay Leng serta wakil Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang.

Jagdeep yang juga Exco Pembangunan Modal Insan, Sains dan Teknologi berkata bahawa kewujudan institusi seperti Tech Dome merupakan antara pemacu utama aspirasi pembangunan negeri.

(Ini kerana) pembangunan masa kini tidak lagi tertumpu kepada pencapaian lalu, sebaliknya kepada kesiapsiagaan menghadapi masa depan.

“Dalam era sains dan teknologi yang berubah pantas, sesuatu yang relevan hari ini mungkin menjadi lapuk pada masa hadapan, oleh itu apa yang kita lakukan sekarang adalah pelaburan untuk masa depan,” katanya.

whatsapp image 2026 05 26 at 14.20.22 (1)

Beliau turut menyifatkan Tech Dome sebagai contoh kejayaan kerjasama sektor awam dan swasta antara Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan pemain industri dalam memperkukuh pendidikan STEM.

Pendidikan STEM adalah keutamaan Pulau Pinang dan Tech Dome memainkan peranan besar menerusi penglibatan sekolah serta pelaksanaan pelbagai program untuk pelajar dari kelima-lima daerah.

“Sepanjang 10 tahun lalu, Tech Dome menerima kira-kira 1.45 juta pengunjung dari dalam dan luar negara selain menganjurkan ratusan bengkel serta acara.

“Tahun lalu (2025) sahaja, sebanyak 404 program berjaya dilaksanakan di Tech Dome,” jelasnya.

Beliau berkata, fokus utama sambutan ulang tahun ke-10 Tech Dome yang bertemakan ‘From Blue Gem to a Bright Future: A Decade of Innovation’ adalah untuk meningkatkan kesedaran generasi muda mengenai kepentingan pendidikan STEM, khususnya ketika dunia kini bergerak pantas ke arah teknologi baharu termasuk kecerdasan buatan (AI).

AI sedang membentuk masa depan dunia dan kita perlu menerima realiti ini kerana jika tidak, kita akan ketinggalan.

“Di Pulau Pinang, kita akan memastikan teknologi paling moden termasuk AI terus diterapkan dan sebab itu agensi seperti Tech Dome, Penang Science Cluster dan Penang STEM amat penting kerana inilah masa depan pendidikan kita,” katanya.

whatsapp image 2026 05 26 at 14.14.20 (1)
JAGDEEP Singh Deo (tengah) pada sidang media di Komtar, hari ini.

Terdahulu, Jagdeep memberitahu bahawa antara pengisian program yang dijangka menjadi tarikan utama adalah inisiatif ‘10,000 Visitors – 10 Days Free Admission’ yang berlangsung dari 9 hingga 18 Julai 2026, menawarkan kemasukan percuma kepada orang ramai termasuk keluarga, pelajar dan pelancong, khusus untuk pemegang kad pengenalan Pulau Pinang.

Menurut beliau, inisiatif tersebut dijangka membuka peluang lebih luas kepada masyarakat untuk menikmati pengalaman pembelajaran STEM secara interaktif.

whatsapp image 2026 05 26 at 14.20.22

Selain itu, sambutan ulang tahun berkenaan turut menampilkan pelbagai program lain termasuk program komuniti melibatkan 10 sekolah di lima daerah, program penglibatan khas sekolah, pembukaan rasmi Space Gallery, Anugerah Kecemerlangan STEM Tech Dome, FutureScape Exhibit Design Challenge, kempen penghargaan awam, Tech Talk Weekend: From Science to AI and Beyond, penerbitan e-buku dan dokumentari khas ulang tahun ke-10 serta majlis makan malam penghargaan.

Difahamkan, galeri angkasa yang dibangunkan dengan kerjasama Shanghai Astronomy Museum dijangka menjadi satu lagi tarikan utama di Tech Dome melalui pengalaman imersif berkaitan astronomi dan sains angkasa.

Maklumat lanjut, layari www.techdomepenang.org/10th-anniversary.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI 
Gambar : G. REVATIC