Tekad Sri Pahang FC nak jinakkan Penang FC tak kesampaian

GEORGE TOWN – Sebelum bertandang ke Stadium Bandaraya, bukan main lagi Sri Pahang FC menyatakan keyakinan untuk menjinakkan serta membenamkan keupayaan Penang FC yang kian mendaki naik tangga dalam Liga Super musim 2021.

Pengendali Sri Pahang FC, Dollah Salleh dilaporkan berkata, kehadiran semula tonggak pertahanan import, Herold Goulon yang sebelum ini mengalami kecederaan akan menambah momentum Tok Gajah ketika berdepan Penang FC.

Namun, malam ini pada minit ke-11 menyaksikan gawang pasukan pelawat lolos dek tendangan leret ketua pasukan skuad Harimau Kumbang, Endrick Dos Santos Parafita yang memakai jersi nombor 14.

Belum sempat Tok Gajah naik minyak, kelincahan Harimau Kumbang berjaya menjarakkan lagi perbezaan menerusi sepakan Muhamad Danial Ashraf Abdullah pada minit ke-26 dari luar kawasan petak penalti, terkena tiang gol kiri sebelum masuk ke gawang pasukan pelawat.

Sehingga habis separuh masa pertama, pasukan tuan rumah mempunyai kelebihan dua gol meninggalkan Sri Pahang yang masih mencari rentak perlawanan.

Masuk separuh masa kedua, pada minit ke-90 menyaksikan tandukan sedikit Muhammad Jafri Muhammad Firdaus Chew menyumbang gol ketiga kepada Penang FC.

Sehingga ke hujung perlawanan, Penang FC membenamkan Sri Pahang FC 3-0.

Ketua Menteri Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow; Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee; mantan Presiden Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP), Dato’ Dr. Amar Pritpal Abdullah antara 1,917 penonton pada malam ini.

1 Mei nanti, giliran Penang FC sebagai pasukan pelawat, dijadual menentang Terengganu FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.

Memandangkan JDT buat kali pertama tewas di tangan Terengganu FC pada malam ini, Penang FC kekal di kedudukan keempat teratas Liga Super 2021.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : CHAN KOK KUAN