PINANG TUNGGAL – Dalam usaha memperkukuh budaya tempat kerja bebas dadah, Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) telah menganjurkan Program Tempat Kerja Bebas Dadah (TEKAD) dengan kerjasama Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Kampung Selamat di sini pada 5 Ogos lalu.
Menurut kenyataan media Unit Media Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Pulau Pinang, Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, Dato’ Ir. K. Patmanathan hadir menyempurnakan perasmian program.
Ketika berucap, Patmanathan menekankan kepentingan sinergi antara agensi dalam mendukung inisiatif nasional ke arah tempat kerja bebas dadah serta mengekalkan kesejahteraan mental dan fizikal warga kerja.
Program TEKAD ini merupakan sebahagian daripada usaha PBAPP untuk tampil sebagai agensi yang bukan sahaja menitikberatkan perkhidmatan berkualiti kepada rakyat, tetapi juga bertanggungjawab dari segi sosial dalam membantu membentuk masyarakat yang lebih sejahtera dan bebas daripada pengaruh dadah.
“Diharapkan inisiatif seperti ini dapat menjadi contoh kepada jabatan dan syarikat lain untuk turut memainkan peranan dalam menyokong agenda negara ke arah persekitaran kerja bebas dadah.
“Komitmen berterusan daripada semua pihak amat penting dalam memastikan kesejahteraan mental dan fizikal warga kerja terus terpelihara demi masa depan organisasi yang lebih cemerlang dan lestari,” katanya.

Difahamkan, lebih 300 pegawai dan kakitangan daripada PBAPP dan AADK serta klien PUSPEN Kampung Selamat terlibat secara langsung dalam program ini yang turut merangkumi pelbagai pengisian seperti aktiviti sukan, kerjasama antara agensi serta sesi perkongsian kesedaran berkaitan pencegahan penyalahgunaan dadah.
Selain itu, program ini turut memberi ruang kepada para peserta untuk memahami secara lebih dekat proses kepulihan klien di pusat pemulihan, sekali gus menyemai rasa empati dan sokongan terhadap golongan yang sedang berusaha keluar daripada belenggu ketagihan.
Ketua Bahagian Sumber Manusia PBAPP, Dato’ Mohammad Zulkifli Abdul Hamid; Penolong Pengarah mewakili Pengarah PUSPEN Kampung Selamat, Adzhar Kamarrudin Saidin; Penolong Pengarah AADK Pulau Pinang yang mewakili Pengarah AADK Pulau Pinang, Mohd. Zaki Ablah serta pegawai-pegawai AADK Negeri Pulau Pinang antara yang turut serta dalam program berkaitan.


Program yang dilaksanakan di PUSPEN Kampung Selamat ini merupakan salah satu inisiatif proaktif PBAPP dalam menyokong usaha mewujudkan persekitaran kerja yang lebih sihat, selamat dan produktif, selari dengan objektif TEKAD yang digariskan oleh AADK.

Gambar : AADK PULAU PINANG