Teliti demi penyelesaian secara menyeluruh

Admin

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menerima kunjungan hormat daripada Pengerusi JKP Sdn. Bhd. (JKP), Tan Sri Khalid Ramli di sini sebentar tadi.

Turut serta, Ketua Pegawai Eksekutif JKP, Farizul Arif Abd. Mutalib dan Ahli Lembaga Pengarah JKP yang juga Pengarah Bahagian Penyertaan Bumiputera Pulau Pinang, Dr. Syaharudin Shah Mohd. Noor.

Antara perkara yang dibincangkan pada pertemuan tersebut adalah berkaitan projek-projek perumahan semasa di bawah agensi pelaksana pemaju serta pengurusan hartanah Bumiputera itu antaranya di Taman Ilmu, Nibong Tebal; Permatang Pauh dan juga Kampung Bagan Serai, Seberang Jaya.

KETUA Menteri mendengar isu yang dibangkitkan pada pertemuan bersama-sama delegasi JKP Sdn. Bhd. di sini.

Turut dibangkitkan ada isu berkaitan mekanisme mudah bagi permohonan unit rumah di bawah kuota bukan Bumiputera yang tidak terjual, skim pinjaman dan pembiayaan mudah di bawah tabung perumahan Kerajaan Negeri serta kekangan dihadapi dalam pembangunan projek-projek berkaitan.

Selain itu, Khalid turut mengemukakan cadangan supaya membenarkan keanggotaan JKP Sdn. Bhd. dalam Jawatankuasa Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) sebagai pemudah cara di samping bertukar-tukar pandangan pelbagai isu membabitkan perumahan, keusahawanan Bumiputera, pelancongan dan Kerajaan Tempatan.

Kon Yeow dalam maklum balas memberitahu bahawa Kerajaan Negeri akan meneliti isu-isu yang dibangkit supaya penyelesaian secara menyeluruh dapat dilaksanakan sewajarnya.

 

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI