PERAI – Exco Perumahan dan Alam Sekitar, Dato’ Seri S. Sundarajoo berkata, hasrat sebuah kilang gula untuk melanjutkan tempoh operasi selama 30 tahun lagi merupakan antara faktor yang mengekang minat mana-mana pemaju untuk menyegerakan projek pembangunan semula kawasan strategik yang melibatkan tanah milik Perbadanan Aset Keretapi (RAC) di Perai.

Mengulas lanjut, beliau berkata kegusaran pemaju berpunca daripada ketidakpastian tempoh pajakan kilang tersebut yang memberi kesan langsung kepada fasa kedua pembangunan di kawasan berkenaan.
“Kenapa lambat? Kerana kilang gula itu mahu kekal di sana untuk tempoh masa yang lebih lama…selama 30 tahun, maka sebab itu banyak pemaju sebelum ini keberatan untuk mengambil projek ini,” ujar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perai dalam Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di Dewan Serbaguna Taman Chai Leng di sini pada 18 April 2026.
Walau bagaimanapun, beliau menjelaskan bahawa RAC telah mempunyai surat persefahaman (MoU) yang menetapkan bahawa kilang gula tersebut akan berpindah dalam tempoh 15 tahun.
Beliau berkata, keputusan tersebut dianggap sebagai titik tolak penting yang memberikan ‘lampu hijau’ kepada kelangsungan projek perumahan rakyat, sekali gus memastikan perancangan perbandaran moden di atas tanah milik RAC tidak lagi terhenti atau ‘terpaku’.
Dalam perkembangan berkaitan, Sundarajoo menzahirkan harapan bahawa projek perumahan tersebut yang kini dinamakan sebagai ‘Residensi Madani’ akan dilancarkan secara rasmi oleh Perdana Menteri pada Jun depan.
“Kita amat berharap pada bulan Jun nanti, Perdana Menteri sendiri akan melancarkan projek ini,” tambah beliau lagi.
Pembangunan Residensi Madani ini dijangka bakal mengubah wajah kawasan Perai, sekali gus menamatkan penantian penduduk untuk memiliki kediaman yang lebih selesa dan terancang di bawah kerangka Malaysia Madani.

Mantan Ketua Menteri merangkap ADUN Air Putih dan Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng turut berucap dalam majlis tersebut.
ADUN Bagan Dalam, K. Kumaran; ADUN Bagan Jermal, Chee Yeeh Keen; serta Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Dato’ Baderul Amin Abdul Hamid turut hadir.
Terdahulu, pada 11 November 2024, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi bersama Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook menyaksikan majlis menandatangani dua MoU bagi projek pembangunan semula bandar di atas tanah milik RAC tersebut.
Projek pembangunan bercampur tersebut dikenali sebagai ‘Rivanis’, bersempena gabungan dua perkataan iaitu ‘River’ (sungai) dan ‘Manis’ (Kampung Manis).
Di atas sebahagian tanah Lot 286, Lot 65 dan Lot 67 Bandar Perai di sini, dicadangkan pembangunan bercampur termasuk pembinaan unit kediaman untuk penduduk asal Kampung Manis.
Fasa pertama pembangunan tersebut akan merangkumi 338 unit Rumah Mampu Milik (RMM) berkeluasan 850 kaki persegi dan turut dilengkapi dengan kemudahan awam seperti kolam renang, taman permainan kanak-kanak serta gimnasium.
Ditanya lanjut pada waktu itu, Siew Fook berkata, sebanyak 177 unit RMM ditawarkan secara percuma kepada penduduk asal Kampung Manis yang layak.
Mereka ditawarkan RMM jenis bertingkat dengan keluasan lantai 850 kaki persegi yang bernilai sekitar RM400,000 seunit.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS