SEBERANG JAYA – Kerajaan Negeri Pulau Pinang terus memperkukuh tahap kesiapsiagaan menghadapi sebarang kemungkinan bencana menerusi penganjuran Latihan Simulasi dan Pelan Evakuasi Bencana Kimia, Biologi, Radiologi, Nuklear dan Bahan Letupan (CBRNE) Bahan Berbahaya (Hazmat) bagi tahun 2026 yang berlangsung dekat Sekolah Kebangsaan (SK) Seberang Jaya, di sini semalam.
Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Dato’ Seri Zulkifli Long berkata, latihan tersebut merupakan program tahunan yang dilaksanakan sebagai langkah persediaan berdepan insiden berisiko tinggi.
Menurut beliau, kejadian berkaitan CBRNE adalah antara yang paling serius dan boleh mencetuskan panik dalam kalangan masyarakat, sebagaimana insiden yang berlaku di Putra Heights, Subang Jaya pada 1 April tahun lalu.
“Di Pulau Pinang sendiri terdapat paip gas yang menghala ke Tenaga Nasional Berhad (TNB) Perai dan melalui kawasan perumahan padat.
“Justeru, keperluan untuk meningkatkan tahap kesiapsiagaan adalah amat penting,” katanya ketika ditemui.
Hadir sama pada ialah Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid; Timbalan Ketua Pengarah (operasi) Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Datuk Abdul Gapar Abu Bakar danTimbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan) Negeri, Muhamad Ghopran Yeop Hamzah.


Tambah beliau, latihan tersebut dianjutkan adalah bertujuan memastikan semua agensi terlibat sentiasa bersedia dari segi kelengkapan, koordinasi serta keupayaan bertindak pantas sekiranya berlaku bencana sebenar.
“Seramai 256 petugas daripada 34 agensi dengan sokongan 260 aset telah terlibat dalam simulasi tersebut.
“Antara agensi yang mengambil bahagian termasuk Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kesihatan Negeri (JKN), Jabatan Kimia serta beberapa agensi berkaitan lain.
“PDRM turut memainkan peranan sebagai pusat kawalan operasi bencana di lokasi kejadian,” jelasnya.
Mengulas lanjut, Zulkifli berkata bahawa berdasarkan pemerhatian keseluruhan, semua agensi berjaya berkoordinasi dengan baik dan latihan berjalan lancar serta mencapai objektif yang ditetapkan.
“Melalui simulasi ini, kita berharap sekiranya berlaku kejadian sebenar, semua pihak telah bersedia untuk bertindak dengan cekap dan berkesan,” ujarnya.
Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa semua pegawai awam komited dalam menyelaraskan pengurusan bencana pada peringkat daerah masing-masing, dengan mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dan Daerah diadakan sekurang-kurangnya tiga kali setahun bagi memastikan penyelarasan berterusan.
Sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, beliau menegaskan komitmen untuk memastikan semua anggota dan aset sentiasa berada dalam keadaan siap siaga.
“Latihan simulasi bencana diadakan setiap tahun dengan fokus berbeza, yang mana tahun lalu memberi tumpuan kepada runtuhan bangunan, manakala tahun ini memfokuskan kepada CBRNE.
“Secara keseluruhannya, tahap kesiapsiagaan kita berada pada tahap yang baik,” katanya.
Sementara itu, Mohamad ketika berucap merasmikan CBRNE 2026 berkata pelaksanaan latihan ini juga selari dengan Visi Penang2030 yang menekankan pembinaan sebuah negeri yang berdaya huni, selamat dan mampan.
Katanya, siri latihan kali ini memfokuskan kepada senario letupan paip gas, mengambil kira potensi risiko sebenar yang boleh berlaku akibat kemalangan industri, kecuaian manusia atau ancaman disengajakan.
“Ancaman CBRNE tidak boleh dipandang ringan kerana kesannya bukan sahaja menjejaskan keselamatan mangsa, malah berpotensi melumpuhkan ekonomi setempat.
“Objektif utama latihan ini adalah untuk meningkatkan kecekapan serta memperkukuh koordinasi antara agensi dalam menghadapi kemungkinan kebocoran paip gas, di samping meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap risiko bencana,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau berkata Kerajaan Negeri turut merakamkan penghargaan kepada PETRONAS Gas Berhad (PGB) atas kerjasama dan komitmen dalam menjayakan latihan simulasi, khususnya dalam meningkatkan kesedaran awam terhadap risiko kebocoran paip gas.
“Latihan ini juga berperanan menguji keupayaan agensi dari aspek pengesanan awal, penilaian risiko, pengaktifan mekanisme tindak balas, pengurusan mangsa serta komunikasi krisis.
“Sehubungan itu, aspek komunikasi strategik dalam pengurusan bencana turut diberi penekanan bagi memastikan penyampaian maklumat yang jelas, mengelakkan pertindihan peranan serta meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap kecekapan agensi terlibat.
“Semua agensi yang terlibat diingatkan agar melaksanakan tanggungjawab masing-masing secara bersepadu bagi memastikan pengurusan bencana dapat dikendalikan dengan lebih berkesan.
“Kerajaan Negeri berharap latihan simulasi ini dapat memberi manfaat menyeluruh dalam usaha melindungi keselamatan rakyat serta mengurangkan impak sekiranya berlaku bencana pada masa hadapan,” katanya.
Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar: NOOR SITI NABILAH NOORAZIS






