Tender projek kereta kabel Bukit Bendera bakal diumum

PADANG KOTA – Agensi negeri, Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang (PHC) pada minggu depan akan mengumumkan tender bagi memanggil sektor swasta yang berminat untuk membiayai projek kereta kabel di lokasi pelancongan tanah tinggi terkenal tersebut.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata demikian selepas mengambil kira Kerajaan Persekutuan yang diterajui Perikatan Nasional (PN) pada hari ini telah membatalkan pemberian peruntukan Persekutuan berjumlah RM100 juta untuk projek berkaitan.

“Melalui PFI (pembiayaan kewangan swasta), pihak swasta boleh mengambil bahagian (menyertai tender tersebut),” jelasnya yang juga Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi pada sidang media di sini 7 Januari 2020.

Berhubung pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PIA), Kon Yeow memberitahu bahawa Kerajaan Negeri telah memaklumkan kepada Menteri Pengangkutan termasuk di Dewan Rakyat untuk tidak perlu menunggu lagi hasil kajian Pelan Strategik Lapangan Terbang Negara (NASP) siap berhubung pelaksanaan projek tersebut.

“Projek (pembesaran PIA) ini, kerana telah ada pembiayaan, sudah ada kelulusan (peruntukan di peringkat Kerajaan Persekutuan), perlu dilaksanakan dan tidak perlu tunggu keputusan kajian (NASP),” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Tanjong merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota.

Selain itu, Kon Yeow turut menjelaskan status cadangan pembinaan transit aliran ringan (LRT) dengan penubuhan syarikat tujuan khusus (SPV) oleh Kerajaan Negeri untuk menerbitkan bon yang dijamin oleh Kerajaan Persekutuan.

“Mengenai tarik balik jaminan (Persekutuan) itu, melalui surat kepada Kerajaan Negeri, saya mengakui (langkah Kerajaan Persekutuan itu) menjejaskan perancangan pembangunan masa depan Pulau Pinang.

“Kalau ada jaminan (serta) dapat pembiayaan melalui pinjaman, sebagaimana kata Saudara Lim Guan Eng (Ahli Parlimen Bagan yang juga bekas Menteri Kewangan) sendiri (iaitu) jaminan itu sebagai suatu geran kepada negeri untuk melaksanakan projek (LRT) ini.

“Memandangkan sudah ditarik balik, maka kita (Kerajaan Negeri) perlu mengatur semula perancangan kewangan kita (Kerajaan Negeri) untuk mencari kaedah-kaedah yang sesuai (seumpama) kita (Kerajaan Negeri) boleh memulakan projek penambakan laut, selepas itu baru memulakan projek LRT,” ulasnya.

Sebelum itu, Kon Yeow bersama-sama Guan Eng yang juga Setiausaha Agung Parti Tindakan Demokratik (DAP) Kebangsaan; Senator Lim Hui Ying melancarkan kempen tandatangan massa sebagai membantah langkah Kerajaan Persekutuan era PN membatalkan empat projek awam di negeri ini.

Empat projek tersebut adalah RM100 juta peruntukan untuk projek kereta kabel Bukit Bendera; projek pembesaran PIA (RM800 juta); jaminan Kerajaan Persekutuan untuk pembinaan LRT Pulau Pinang dan perkhidmatan feri yang menjadi ikon negeri ini.

Hui Ying yang juga Setiausaha DAP Pulau Pinang memberitahu bahawa kempen tandatangan massa yang dilancarkan adalah bertujuan mengajak orang ramai untuk menurunkan tandatangan sokongan untuk mengembalikan empat projek infrastruktur Pulau Pinang yang dilancarkan oleh DAP negeri.

Menurut beliau, proses tandatangan secara fizikal boleh dibuat di semua pejabat wakil rakyat serta pejabat DAP di negeri ini, dan tandatangan sokongan awam adalah secara dalam talian menerusi laman HTTP://forms.gle/wZ9j5QRZWSXVchBb9.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : CHAN KOK KUAN
Video : ALVIE CHENG