Tenggelamkan bot asing, Exco sokong pertimbangan Pusat

Admin

GEORGE TOWN – Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin menyokong langkah Kerajaan Persekutuan mempertimbang cadangan Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat) supaya menenggelamkan bot-bot asing yang ditangkap menceroboh kawasan perairan negara.

Menurutnya, pemerintah Indonesia sejak empat tahun lepas lagi telah mengambil langkah tegas sebegitu.

“Sebenarnya, Indonesia telahpun melakukan aktiviti penguatkuasaan yang radikal sejak empat tahun lepas dan saya difahamkan ada juga (kapal) nelayan dari Malaysia pernah ditangkap serta ditenggelamkan di perairan (negara berkenaan).

“Kalau Indonesia boleh buat, (Kerajaan Persekutuan) Malaysia juga tidak terkecuali boleh melakukan perkara yang sama.

“Ini kerana, ianya menghantar mesej yang kuat dan tegas kepada nelayan-nelayan (asing) yang menceroboh perairan negara,” jelasnya dalam sidang media bersama-sama Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow di Komtar pada 1 Ogos 2019.

Beberapa Exco Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang lain turut sertai sidang media tersebut.

Menjawab soalan pemberita lagi, Afif menyatakan bahawa Kerajaan Negeri akan menyokong apa jua pertimbangan yang dibuat pada peringkat Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

“Kita menyokong usaha yang dibuat oleh Kerajaan Persekutuan dalam soal ingin menjaga kepentingan nelayan-nelayan yang ada dalam negara, dan juga sumber-sumber perikanan yang ada dalam negara, lebih-lebih lagi yang menangkap membabitkan kapal-kapal asing.

“Juga, termasuk menyelesaikan masalah pukat-pukat tunda yang harus dilakukan dengan lebih tegas,’’ ujarnya. 

Pada 31 Julai 2019, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub dalam Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat) ke-34/2019 dekat Kuala Lumpur, menerima cadangan untuk menenggelamkan bot-bot nelayan asing yang ditangkap menceroboh kawasan perairan negara.

Sementara itu, Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam kenyataan berasingan dilaporkan berkata, Kerajaan Persekutuan sedang meneliti dasar pemerintahan Indonesia tersebut, dengan memusnahkan atau menggelamkan bot-bot nelayan asing yang ditangkap mencoroh perairan negara ini.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS