GEORGE TOWN, 28 Julai 2025 – Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz hari ini dianugerahkan Darjah Panglima Pangkuan Negeri (D.P.P.N) yang membawa gelaran Dato’ Seri.
Beliau menerima penganugerahan itu dalam Istiadat Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Kehormatan Negeri Pulau Pinang 2025 bersempena Ulang Tahun Keputeraan Ke-84 Tuan Yang Terutama (TYT), Yang Dipertua Negeri Tun Ramli Ngah Talib di Dewan Sri Pinang pada 28 Julai 2025.
Penganugerahan itu merupakan pengiktirafan kepada jasa dan sumbangan Tengku Zafrul dalam pembangunan ekonomi negara, khususnya dalam menarik pelaburan strategik ke Malaysia, termasuk Pulau Pinang yang kini terus muncul sebagai hab utama teknologi tinggi dan industri semikonduktor.
“Terima kasih kepada Kerajaan Negeri dan TTY Kerana telah memberi pengiktirafan kepada saya dan MITI (Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri).
“Dan, MITI akan terus berusaha bagi memastikan Pulau Pinang terus menjadi hab perdagangan dan jaguh (pelaburan) serantau,” jelasnya kepada Buletin Mutiara di sini.
Berusia 52 tahun dan berasal dari Kuala Lumpur, Tengku Zafrul mempunyai latar belakang akademik yang cemerlang dan pengalaman luas lebih dua dekad dalam sektor perbankan dan kewangan.
Beliau menerima pendidikan awal di Sekolah Rendah Sri Petaling, Sekolah Menengah Bukit Bintang dan Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK), sebelum melanjutkan pengajian A-Level di Sherborne School, United Kingdom.
Beliau memegang Ijazah Sarjana Muda dalam Ekonomi dan Perakaunan dari Universiti Bristol, serta Ijazah Sarjana dalam bidang Kewangan dan Pengurusan dari Universiti Exeter, United Kingdom.
Sebelum menyertai Kabinet, Tengku Zafrul pernah menerajui CIMB Group Holdings Berhad sebagai Ketua Pegawai Eksekutif serta Pengarah Eksekutif, dan pernah berkhidmat dengan institusi kewangan utama seperti Maybank, Citigroup Malaysia, Kenanga Holdings dan Avenue Securities.
Pada peringkat awal kerjayanya, beliau turut mengasaskan Tune Money Sdn. Bhd., syarikat perkhidmatan kewangan dalam talian pertama di Asia.
Selain dunia korporat dan kerajaan, Tengku Zafrul juga aktif dalam badan pemikir dan pertubuhan kebangsaan yang mana beliau pernah menjadi Ahli Majlis Penasihat Perniagaan APEC, Ahli Lembaga Majlis Sukan Negara dan Pemegang Amanah Yayasan Kepimpinan Perdana.
Beliau turut berkhidmat sebagai Panglima Kehormat Pasukan Sukarelawan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Sebagai rekod, hari kedua istiadat menyaksikan seramai 389 penerima Istiadat Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Kehormatan.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD
Video : SIEW CHIA EN