Terbuka kepada sebarang alternatif berdasarkan nasihat JKNPP muktamad sidang DUN

Admin

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri terbuka kepada sebarang alternatif yang wajar diambil (sekiranya perlu) berdasarkan nasihat daripada Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) berhubung kaedah persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dijangka diadakan pada 12 Oktober ini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa Kerajaan Negeri terbuka dan menunggu keputusan akhir daripada JKNPP sekiranya perlu untuk mengambil pendekatan alternatif sebelum memuktamadkan keputusan yang diambil kini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan pemberita berhubung kesediaan Kerajaan Negeri menjalankan sidang DUN secara dalam talian atau memendekkan hari mesyuarat ekoran laporan terkini kes-kes aktif COVID-19 kini.

“Saya difahamkan bahawa kebanyakan wakil rakyat yang membantu kempen (Pilihan Raya Negeri) di Sabah sudah pulang ke Pulau Pinang sejak 26 September dan telah jalani saringan serta ujian yang mana semuanya adalah negatif.

“Memandangkan tarikh 12 Oktober adalah melebihi 14 hari daripada 26 September, maka kita perlu menunggu keputusan akhir ujian kerana tempoh kuarantin akan berakhir sebelum tarikh ini.

“Justeru, dalam tempoh ini, kita terbuka sekiranya ada mana-mana wakil rakyat yang terkesan maka kita perlu membuat pengiraan semula kerana ia akan menjejaskan kelangsungan perjalanan mesyuarat,” katanya pada sidang media dekat Komtar sebentar tadi.

Hadir sama, Exco Perdagangan & Industri dan Pembangunan Keusahawanan, Dato’ Abdul Halim Hussain.

Mengulas lanjut, Kon Yeow berpendapat bahawa tempoh kuarantin selama 14 hari yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) kepada wakil-wakil rakyat yang pulang dari Sabah adalah mencukupi.

“Bagaimanapun, keputusan akhir adalah bergantung kepada pertimbangan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan KKM untuk memutuskan mengenai perkara ini,” ujarnya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : ALISSALA THIAN
Video : AHMAD ADIL MUHAMAD