Terima 110 penyertaan, ADUN Jawi komited anjur kejohanan catur terbuka setiap tahun

Admin
JASON H’ng Mooi Lye (duduk, kanan) turut mengambil kesempatan menyertai saingan catur dengan salah seorang peserta lain di sini pada 2 Julai 2022.

JAWI – Seramai 110 orang menyertai Kejohanan Catur Terbuka Penang2030 yang berlangsung dekat C-Mart Nibong Tebal, dengan penyertaan paling jauh adalah dari Kajang, Selangor.

Sebagai penganjur bersama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jawi, Jason H’ng Mooi Lye memberitahu bahawa kejohanan tersebut melibatkan empat kategori iaitu Terbuka, Bawah Umur 17 Tahun, Bawah Umur 12 Tahun dan Bawah Umur 9 Tahun.

“Dengan sokongan dan sambutan yang diterima pada pagi ini, saya bersedia untuk terus menganjurkan kejohanan catur pada setiap tahun.

“Malah, kita juga mungkin akan menambah lagi jumlah peserta supaya lebih ramai bakat terpendam dapat dicungkil untuk kemajuan dalam sukan catur ini,” jelasnya semasa merasmikan pembukaan acara tersebut.

Di samping itu, beliau berpendapat bahawa permainan catur mampu menjana karakter yang positif dalam kalangan golongan muda seperti berfikir secara tenang, kesabaran dan berkeyakinan dalam melakukan sesuatu perkara hingga berjaya.

“Keseimbangan aspek jasmani, emosi, rohani, pemikiran dan sosial dalam diri individu akan menjadi tonggak utama dalam melahirkan modal insan yang cemerlang.

“(Selain itu,) langkah ini adalah selari dan bertepatan dengan usaha ke arah merealisasikan hasrat Kerajaan Negeri yang mahu melahirkan ahli sukan yang berjaya lagi berpengetahuan tinggi untuk mencapai kejayaan buat diri, keluarga, negeri dan negara,” ujarnya

Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut berharap semua peserta menyahut saingan dalam semangat kesukanan secara sihat.

Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee yang juga ADUN Bagan Jermal bertindak merasmikan acara kejohanan tersebut.

Dua Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Heng Yeh Shiuan dan Ngoh Cheng Hai; Pengurus Kompleks C-Mart Nibong Tebal, Muhamad Khairul Mohdz Ramly dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga (JPWK) Nibong Tebal, Arianty Ariffin turut sertai majlis perasmian pembukaan kejohanan tersebut.

Untuk rekod, kali terakhir kejohanan seumpama itu dianjurkan adalah pada tahun 2019 iaitu sebelum negara dan negeri dilanda pandemik COVID-19.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB