Terima mandat rakyat, menjadi kewajipan wakil rakyat untuk beri perkhidmatan terbaik di kawasan masing-masing

Admin

BATU LANCANG – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow inginkan Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Harapan (PH) di Pulau Pinang supaya bersaing secara sihat dalam menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Anjuran Bersama Parlimen Jelutong/Dewan Undangan (DUN) Batu Lancang dekat Rumah Pangsa Jalan Kurau di sini tadi.

“Wakil rakyat perlu rajin bersaing membawa projek (pembangunan) ke kawasan masing-masing, menjadi perantara antara rakyat dengan kerajaan dan bersaing memastikan rakyat jelata menikmati pembangunan di kawasan masing-masing.

“Wakil rakyat telah menerima mandat daripada rakyat jelata, justeru adalah menjadi kewajipan wakil rakyat untuk memberi perkhidmatan terbaik di kawasan masing-masing.

“Selain itu, wakil rakyat juga perlu menjadi perantara antara rakyat degan kerajaan dan kerajaan dengan rakyat supaya segala permasalahan rakyat dapat dibawa kepada perhatian dua pihak.

“Malah, apa juga dasar serta undang-undang kerajaan dapat disampaikan kepada rakyat sehingga ke akar umbi melalui jentera-jentera kerajaan,” ujarnya yang juga ADUN bagi kawasan Padang Kota.

Hadir sama, tuan rumah iaitu ADUN Batu Lancang, Ong Ah Teong; ADUN Sungai Pinang, Lim Siew Khim; Ahli Parlimen Jelutong; RSN Rayer dan Pengerusi Surau Nurul Ehsan, Rahim Omar.

Ah Teong dan Rayer ketika berucap turut memberikan laporan projek-projek yang sudah, sedang dan akan dilaksanakan di DUN Batu Lancang.

Dalam memeriahkan sambutan Aidilfitri yang masih terasa, Kon Yeow merangkap Ahli Parlimen Tanjong turut menyantuni kanak-kanak sekitar majlis dengan menyampaikan sumbangan duit raya.

Antara sajian menarik dihidangkan termasuk nasi tomato, sate, ikan bakar, char kuatiau dan pelbagai lagi.

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar & Video : AHMAD ADIL MUHAMAD