Terima penganugerahan, kakitangan 3D MBPP terharu jasa bakti dihargai

Admin

GEORGE TOWN – Seramai 12 pekerja dalam sektor 3D (kotor, bahaya dan sukar) Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) menerima penganugerahan Darjah Kebesaran Bintang dan Pingat Kehormatan Negeri sempena Hari Ulang Tahun Ke-73 Yang Dipertua Negeri (TYT) Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak.

Kesemua mereka masing-masing menerima penganugerahan Pingat Jasa Kebaktian, Pingat Jasa Masyarakat dan Pingat Bakti Setia daripada Tun Ahmad Fuzi dalam istiadat penganugerahan yang berlangsung dekat Dewan Sri Pinang, semalam.

Turut mengiringi, isteri TYT, Toh Puan Dato’ Seri Utama Khadijah Mohd. Nor.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow dan isteri, Y.A.Bhg. Puan Tan Lean Kee; Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy, barisan Exco dan kepimpinan Kerajaan Negeri merupakan antara tetamu kehormat yang turut sertai istiadat penganugerahan tersebut.

Pengurniaan darjah kebesaran tersebut adalah kepada semua penerima orang perseorangan yang menyumbang perkhidmatan cemerlang serta mempunyai taraf kedudukan yang tertinggi, sekali gus menghargai sumbangan mereka kepada masyarakat dan negeri ini.

Kakitangan 3D MBPP menunjukkan pingat yang diterima masing-masing.

Datuk Bandar MBPP, Dato’ Ar. Yew Tung Seang menzahirkan rasa gembira susulan 12 kakitangan 3D diberikan pengiktirafan sewajarnya oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang atas khidmat bakti wira-wira yang tidak didendang.

“Terima kasih kepada Kerajaan Negeri yang sudi menganugerahkan pingat-pingat ini hasil kerja keras mereka sepanjang menjalankan tugas dengan dedikasi.

“Saya yakin, pingat ini akan manjadikan mereka lebih bersemangat untuk terus menabur bakti kepada bandar raya kita dan negeri kita amnya agar terus kekal bersih,” ujar Tung Seang ketika ditemui Buletin Mutiara tengah hari tadi.

Bagi ABDUL AZIZ KASSIM, 58, beliau terharu apabila namanya turut terpilih sebagai penerima Pingat Bakti Setia setelah mencurahkan bakti selama 34 tahun.

“Saya akan bersara pada bulan September, ini satu pengalaman manis dalam perkhidmatan dan saya berharap pelapis-pelapis muda dapat teruskan khidmat cemerlang sebagaimana orang-orang lama sudah lakukan agar Pulau Pinang boleh jadi negeri contoh,” jelasnya yang berkhidmat sejak tahun 1988 lagi.

Walaupun pekerjaan 3D sering dilihat sesuatu yang sukar, namun bagi seorang lagi penerima M. MURUGIAH, 54, pekerjaan itu tetap menyeronokkan.

“Bekerja dalam berkumpulan memang menyeronokkan, sebab 3D ini kerja memang macam itu, kami perlukan satu kerjasama yang kuat.

“Kenangan manis semestinya waktu banjir 2017, masa itu sangat sibuk dengan kawan-kawan tetapi kami seronok dapat bantu ramai orang,’ maklum beliau yang menjalankan tugas sekitar Bukit Bendera.

Lain pula bagi seorang lagi penerima, ABDUL HALIM SHAERIFF, 58, yang berpendapat bahawa kerja di sektor 3D itu mampu meningkatkan stamina kerana memerlukan kekuatan fizikal.

Yew Tung Seang bersama-sama pekerja 3D yang menerima penganugerahan pingat.

“Macam kita tahu, kerja-kerja 3D ini bukan mudah bagi yang tidak biasa, namun secara langsung kita dapat jaga kesihatan dan stamina kita sendiri.

“Kalau bercakap mengenai kenangan manis itu hari-hari ‘manis’ bila dapat berkhidmat, tetapi hari ini lagi ‘manis’ sebab dapat pingat,” katanya yang menjalankan kerja-kerja pembersihan di sekitar Green Lane.

Dalam pada itu, ABDUL WAHID AHMAD, 59, turut meluahkan rasa gembira atas penganugerahan yang diterima selepas hampir 35 tahun bekerja di Jabatan Perkhidmatan Perbandaran MBPP.

“Terima kasih kepada seluruh barisan kepimpinan MBPP kerana memberikan sokongan yang berterusan kepada saya.

“Anugerah ini pastinya akan membuatkan saya lebih bersemangat untuk terus berkhidmat demi negeri Pulau Pinang yang tercinta,” katanya yang kini menetap di Jalan Kampar, Air Itam.

Mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri dan MBPP khasnya, R. CHANDRASEGARAN, 59, tidak percaya pengorbanan dan kerja kerasnya kini diiktiraf melalui penganugerahan Pingat Bakti Setia.

“Terima kasih kepada pihak Majlis kerana mengiktiraf usaha dan jasa saya kepada masyarakat.

“Ia adalah salah satu anugerah terpenting dalam hidup saya,” kata Chandrasegaran, yang telah berkhidmat untuk pihak berkuasa tempatan (PBT) selama 36 tahun.

Seorang lagi penerima Pingat Bakti Setia, YEOH KIN WENG, 59, tidak dapat menahan rasa terujanya selepas mendapat penganugerahan daripada Kerajaan Negeri.

“Saya telah bersama MBPP sejak 40 tahun lalu dan saya akan berusaha untuk bekerja dengan lebih keras lagi,” katanya yang sering terlibat dalam kerja-kerja membaik pulih dan menyelenggara tandas awam.

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI & SUNARTI YUSOFF

Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI & MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR