Terus berikan sokongan hadapi PRN akan datang, seru Kon Yeow

Admin

GEORGE TOWN – Semua ahli pasukan pada peringkat akar umbi di Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) diseru untuk sama-sama memberi sokongan dan bersedia sedia dalam menghadapi pilihan raya negeri tidak lama lagi.

 

Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Negeri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata bahawa bukan sahaja rakan-rakan parti seperjuangan malah DAP juga perlu berdepan dengan cabaran besar menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN).

 

Meskipun berlandaskan keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) baru-baru ini, DAP menang di semua 19 saluran tetapi cabaran tetap besar.

 

“(Dan) seperti yang dilaungkan sebelum ini bahawa kita semua perlu sentiasa bersiap sedia dan siap siaga dalam apa juga keadaan bagi menghadapi pilihan raya akan datang,” ujar Ahli Parlimen Batu Kawan itu.

 

Kon Yeow yang juga merupakan mantan Ahli Parlimen Tanjong berkata demikian pada majlis penghargaan kepada semua petugas pilihan raya di bawah Parlimen Tanjong yang diadakan pada 23 Disember 2022.

CHOW Kon Yeow ketika menyampaikan ucapan pada majlis berkaitan di sini.

 

Menurut Kon Yeow, semua jentera dan ahli pasukan peringkat KADUN perlu menunjukkan sokongan bagi memastikan kemenangan Pakatan Harapan pada PRN akan datang.

 

Dalam pada itu, beliau menzahirkan ucapan tahniah kepada semua petugas pilihan raya di Parlimen Tanjong yang bertungkus- lumus pada PRU15 baru-baru ini.

 

“Tahniah kepada semua petugas yang telah bekerja keras bagi memastikan kemenangan dengan majoriti selesa di Parlimen Tanjong.

 

Kami (dari pimpinan parti) masih memerlukan anda semua kerana tanggungjawab yang digalas ini memerlukan sokongan semua agar kami dapat melaksanakan tugas yang dengan lebih baik.

 

“Tahniah juga kepada Lim Hui Ying (Ahli Parlimen Tanjong kini) yang telah dilantik sebagai Timbalan Menteri Pendidikan.

 

“Teruslah berikan sokongan terutama pasukan dari KADUN (KADUN Pengkalan Kota, Padang Kota dan Komtar) kerana beliau akan lebih kerap berada di luar kawasan Tanjong (sebagai Timbalan Menteri), semoga perjuangan beliau dapat menyelesaikan isu-isu berkaitan pendidikan di negara ini,” ujarnya lanjut.

 

Kon Yeow dalam pada itu turut mengambil kesempatan menzahirkan ucapan penghargaan kepada semua pimpinan dan pasukan yang selama ini menjadi tulang belakang perjuangan parti DAP.

 

Hui Ying selaku tuan rumah majlis melafazkan ucapan terima kasih kepada Kon Yeow dan pasukan daripada parti yang banyak membantu dalam pilihan raya umum baru-baru ini.

 

ANTARA hadiran yang turut merakamkan momen pimpinan Parlimen Tanjong membuat persembahan istimewa.

Majlis yang dihadiri kira-kira 500 petugas pada peringkat parti di Parlimen Tanjong itu turut dimeriahkan dengan persembahan nyanyian istimewa daripada pimpinan.

 

Selain jamuan makan makan, majlis diserikan persembahan karaoke, penyampaian sijil penghargaan, kemunculan ‘Santa’ dan sesi bergambar.

 

Pengerusi Kebangsaan DAP merangkap Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng; Ahli Parlimen Bukit Bendera, Syerleena Abdul Rashid; pimpinan DAP negeri dan veteran parti Lim Kit Siang antara yang turut sama hadir pada majlis tersebut.